
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad komited untuk membimbing negeri Kedah serta tiga negeri lain (Terengganu, Kelantan, Perlis) di bawah gabungan ‘State-Government 4’ (SG4) dalam membangunkan ekonomi.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata Mantan Perdana Menteri itu sukarela memberi bantuan melalui pengalaman beliau dalam membangunkan Malaysia suatu masa dahulu.
“Ekonomi ni tidak boleh ada sekatan politik kena terbuka, jika kita sekat akan merugikan,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC) di Wisma Darul Aman, pagi ini.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan Tun Mahathir bersama Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan barisan Exco Negeri Kedah berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon, petang Rabu.
“Tun Mahathir turut bernekad untuk melihat negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis membangun maju setanding dengan negeri-negeri maju lain di Pantai Barat Semenanjung Malaysia,” kata beliau.
Tambah Sanusi, perbincangan kerjasama diantara empat negeri ‘SG4’ ini akan diadakan untuk berbincang secara terperinci.
Dalam kenyataan lain, Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata Tun Mahathir mengingatkan kepimpinan negeri ‘SG4’ untuk melaksanakan transformasi kepimpinan khususnya melawan rasuah dalam agenda bagi memperkasakan ekonomi secara lebih mantap.
“Ini untuk membuktikan bahawa negeri-negeri gabungan ‘SG4’ yang diurus-tadbir oleh kepimpinan Melayu turut boleh maju secara cemerlang,” ujarnya selepas pertemuan Tun Mahathir bersama Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan barisan Exco Negeri Kedah berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon, semalam.
Jelas beliau, negeri-negeri gabungan ‘SG4’ mempunyai potensi yang amat tinggi kerana kaya dengan hasil-mahsul bumi cuma memerlukan tatakelola dinamik bagi mencapai matlamat tersebut.