Sekarang rakyat cakap balik kepada Tambun, ‘Hang yang tak reti jaga negeri’

March 5, 2024 · Politik
Rakyat sedang berdepan keadaan mencabar susulan keadaan ekonomi negara yang terjejas sehingga mengakibatkan kos sara hidup semakin meningkat mendadak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Pagoh berkata rakyat mengulang kembali kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi pembangkang apabila sering membidas kerajaan dengan mengatakan tidak pandai menjaga negara susulan kejatuhan ekonomi dan mata wang ketika itu.
Bagaimanapun, selepas Anwar menjadi Perdana Menteri keadaan ekonomi negara lebih memburuk apabila data ekonomi menunjukkan keadaan tidak menjadi lebih baik, sebaliknya lebih teruk.
Berikut ucapan penuh Muhyiddin di Dewan Rakyat hari ini:
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
1. Di awal perbahasan ini, saya ingin menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas kesudian baginda berangkat untuk bertitah di Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Sidang Parlimen Ke-15.
2. Saya juga terlebih dahulu ingin merakamkan sembah tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku atas pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Sebagai bangsa Johor, saya amat berbangga atas pelantikan ini dan saya yakin akan hikmah dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Tuanku selaku Raja Berperlembagaan untuk menjalankan tugas dan amanah dengan adil dan saksama dalam memastikan Malaysia kekal makmur dan sejahtera.
3. Saya juga ingin merafak sembah tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia. Saya mewakili seluruh barisan kepimpinan dan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional mendoakan agar Allah SWT sentiasa merahmati Baginda berdua.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
4. Sekarang ini rakyat sedang berdepan dengan situasi ekonomi yang amat mencabar dan masalah kos sara hidup yang semakin meruncing. Setelah setahun lima bulan Kerajaan Madani mentadbir negara, kita lihat  data-data ekonomi bukan semakin bertambah baik tetapi semakin merudum.
5. Misalnya, kejatuhan nilai ringgit yang telah banyak diperkatakan oleh Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini sebelum ini. Soalnya, mengapa nilai ringgit kita semakin merudum? Ya, saya tidak nafikan antara sebabnya ialah tindakan Rezab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedahnya. Jadi nilai ringgit jatuh berbanding dollar.
6. Tetapi, nilai ringgit jatuh bukan sahaja berbanding dollar Amerika Syarikat. Sejak bulan Julai 2023, nilai ringgit menyusut 4.6% berbanding Thailand, 3.73% berbanding Vietnam, 3.37% berbanding Indonesia dan 2.26% berbanding Filipina.
7. Selain itu, Bank Negara Malaysia melaporkan rezab negara kita pada bulan Januari 2024 adalah sekitar RM114.8 bilion. Jumlah ini mencukupi untuk menampung import kurang 3.6 bulan. Pada masa yang sama, kos import negara kita semakin meningkat disebabkan nilai ringgit yang menyusut.
8. Lebih memburukkan keadaan, data juga menunjukkan jumlah deposit matawang asing di negara kita semakin meningkat. Sehingga bulan Julai 2023, deposit matawang asing dalam sistem perbankan di negara kita berjumlah RM250 bilion, iaitu tertinggi dalam sejarah. Pada waktu wabak Covid-19 pun jumlahnya hanya sekitar RM150 bilion.
9. Apa maknanya ini? Maknanya, rakyat Malaysia sendiri pun tidak yakin kepada ringgit. Mereka tidak mahu simpan ringgit kerana bimbang nilainya akan terus menurun. Jadi mereka memilih untuk menyimpan dalam matawang asing.
10. Persoalannya kenapa mereka tidak yakin? Bukankah kerajaan telah beri jaminan bahawa nilai ringgit akan mengukuh? Kalau tanya saya jawapannya senang saja. Rakyat tak yakin dengan Perdana Menteri. Rakyat tak yakin Perdana Menteri mampu mengurus ekonomi negara ini dengan baik. Saya tengok dalam media sosial ramai netizen yang ulang tayang video Tambun ketika dia jadi pembangkang. Dia kata “Hang tak reti jaga negeri”. Sekarang rakyat cakap balik kepada Tambun, “Hang yang tak reti jaga negeri”.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
11. Itu soal nilai ringgit. Kita tahu bahawa negara kita mengimport banyak barangan dari luar negara, termasuk bahan-bahan makanan. Apabila nilai ringgit  jatuh, kos barang-barang yang kita import juga menjadi semakin mahal.
12. Kerana itu rakyat mengeluh harga barangan keperluan harian semakin mahal. Beras mahal. Bawang mahal. Daging mahal. Tepung mahal. Hampir semuanya mahal. Apabila rakyat mengadu harga barang mahal, ada Menteri yang kata kita bukan beli barang guna US dollar. Ini Menteri yang tak faham ekonomi. Dia tak faham bila nilai ringgit jatuh, barang-barang yang kita import akan jadi lebih mahal. Ini yang dikatakan, dengan izin, imported inflation.
13. Kerana itu, inflasi keseluruhan secara bulanan terus menunjukkan kenaikan. Antara kumpulan yang mencatat peningkatan ialah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang naik sebanyak 0.4%, makanan dan minuman naik 0.3% dan kesihatan naik 0.2%.
14. Dalam keadaan rakyat berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup, mereka juga berdepan dengan kenaikan cukai SST 8% termasuk bagi penggunaan elektrik melebihi 600 kilowatt. Selain itu,  cukai SST 6% juga dikenakan terhadap perkhidmatan logistik seperti perkhidmatan penggudangan, penghantaran fret, perkhidmatan pelabuhan, perkapalan, penerbangan dan lain-lain yang berkaitan dengan rantaian bekalan. Saya pasti pengenaan cukai SST 6% untuk perkhidmatan logistik ini akan menyebabkan kenaikan kos operasi perniagaan yang tentu sekali akan menyebabkan kenaikan harga barang.
15. Jadi, nasib rakyat negara ini seperti “sudah jatuh ditimpa tangga”. Sudahlah harga barang mahal, kadar cukai juga dinaikkan yang pastinya menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan menjadi semakin mahal. Pada masa yang sama, pencen penjawat awam dihapuskan, perbelanjaan kesihatan dipotong dan subsidi ditarik balik.
16. Kerajaan nampaknya tidak mengambil kira secara holistik bebanan yang ditanggung oleh rakyat dengan keputusan menaikkan kadar cukai dan lain-lain kenaikan. Seolah semuanya dilonggok ke atas rakyat tanpa ada strategi jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh.
17. Semalam saya baca kenyataan seorang Timbalan Menteri yang mengingatkan peniaga yang perniagaannya tidak terbabit dengan kenaikan cukai SST supaya tidak menaikkan harga. Dia sebut antaranya ialah peniaga makanan. Ya, betul sektor makanan dan minuman tidak terbabit dengan kenaikan cukai SST kepada 8%. Tetapi katakanlah peniaga itu jual nasi campur. Dengan cukai SST 6% dikenakan bagi perkhidmatan logistik, kos pengangkutan bagi daging, ayam, ikan, sayur dan lain-lain pastinya akan meningkat. Kalau kos barang-barang ini meningkat, takkanlah peniaga nasi campur nak jual nasi dengan harga yang sama seperti sebelum ini? Secara logiknya, dia pastilah jual dengan harga yang lebih tinggi.
18. Jadi, adakah kerajaan madanon ini tak faham kesan kenaikan cukai SST terhadap keseluruhan rantaian bekalan yang akhirnya menyebabkan hampir semua barang naik harga dan kesannya ditanggung oleh rakyat jelata.
19. Ini belum masuk lagi cadangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel yang akan dilaksanakan pada tahun ini. Kalau dilaksanakan, saya 100% yakin bahawa semua barang dan perkhidmatan akan naik harga dan kita akan lihat lebih ramai rakyat akan sengsara. Oleh sebab itu, saya minta kerajaan supaya kaji dengan lebih teliti rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel ini. Adakah ia sesuai dilaksanakan pada masa ini ketika rakyat sedang berdepan dengan kenaikan harga barang dan kenaikan berbagai jenis cukai yang amat membebankan mereka.
20. Mungkin elok kerajaan tangguhkan dahulu rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel buat sementara waktu. Saya faham beban fiskal yang ditanggung oleh negara kita akibat jumlah subsidi yang besar. Tetapi pada masa yang sama adakah kita rela melihat rakyat menanggung sengsara dalam keadaan mereka sudah pun terbeban dengan pelbagai masalah yang berkaitan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan cukai.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
21. Bercakap mengenai isu kos sara hidup ini, kita semua tahu kerajaan telah menubuhkan NACCOL yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Tetapi saya nampak NACCOL ini macam tak ada kesan. Masalah tak juga selesai.
22. Contohnya, baru-baru ini Bukit Gantang buat pengumuman kerajaan akan memperkenalkan “Beras Putih Malaysia Madani” yang mana mengikut kenyataannya cadangan ini telah dipersetujui oleh Perdana Menteri. Tetapi selepas itu Menteri Pertanian buat kenyataan itu bukan keputusan kerajaan.
23. Saya hairan macamana cadangan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri bukan keputusan kerajaan. Atau macamana Perdana Menteri boleh bersetuju dengan cadangan yang tidak dipersetujui oleh kerajaan. Siapa Perdana Menteri, siapa kerajaan? Ini betul-betul kerajaan cacamarba.
24. Kemudiannya, Perdana Menteri kata perkara ini akan dibawa kepada NACCOL. Persoalannya, adakah isu beras ini telah diselesaikan? Saya lihat di luar sana isu ini masih belum selesai. Beras tempatan yang dijual pada harga RM2.60 sekilogram masih sukar ditemui di pasaran. Kemana perginya beras ini? Sedangkan 62% bekalan beras di negara ini adalah beras tempatan. Ini sesuatu yang pelik.
25. Saya minta supaya Perdana Menteri sebagai Pengerusi NACCOL atau Menteri Pertanian sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai beras beri penjelasan yang terperinci mengenai isu kekurangan beras tempatan ini. Kalau perkara ini telah dibincang di peringkat NACCOL, sepatutnya telah ada penjelasan daripada kerajaan berhubung masalah ini termasuk apa keputusan kerajaan untuk menyelesaikannya. Kelewatan kerajaan menyelesaikan isu ini akan menampakkan ketidakcekapan kerajaan dalam mengurus hal yang amat penting kepada kehidupan rakyat.
Tan Sri Yang Di-pertua,
26. Kebimbangan utama Perikatan Nasional ialah situasi ekonomi negara yang kian meruncing dan masalah kos sara hidup rakyat yang berlarutan. Jika keadaan ini berterusan, ekonomi negara kita sukar untuk pulih dan rakyatlah yang sengsara.
27. YAB Tambun ketika jadi pembangkang dulu pandai berjanji macam-macam. Sekarang ini rakyat tercari-cari YAB Tambun yang dulu. Bukan apa, mereka nak tuntut janji. Janji turun harga minyak, janji turun harga barang, janji naikkan nilai ringgit, janji reformasi dan bermacam-macam janji lagi.
28. Jadi saya harap YAB Tambun, dengan izin, walk the talk. Ingatlah janji-janji yang ditabur kepada rakyat dahulu. Jangan berbohong kepada rakyat. Buruk akibatnya. Ingatlah sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, mafhumnya:
“Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”
29. Janganlah ada sikap munafik ini dalam diri kita, na’uzubillah.
Terima kasih, Tan Sri Yang Di-Pertua.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
15 jam lalu· Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024· Isu semasa
Popular
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024
Anwar pengkhianat sebenar, punca kerajaan PH tumbang pada 2020
November 13, 2022
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024
Lagi Politik terkini
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024 · Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024 · Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024 · Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024 · Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok