Tambah pendapatan kerajaan tak cukup hanya dengan cukai: Pakar

Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.

Bernama melaporkan, menurut Presiden Institut Cukai Bertauliah Malaysia dan peneraju pasaran cukai Malaysia di Ernst and Young Tax Consultants, Farah Rosley, pada 2021 hasil kerajaan adalah sekitar RM221 bilion dan menjelang 2022, ia naik kepada RM234 bilion.

“Sasaran hasil cukai bagi 2021 adalah RM162 bilion iaitu 10.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang mana sebahagian besar atau kira-kira 73 peratus daripada hasil kerajaan adalah melalui cukai.

“Daripada jumlah itu, cukai langsung merangkumi 54 peratus manakala bakinya adalah daripada cukai tidak langsung seperti cukai jualan dan perkhidmatan serta eksais Kastam.

“Akan ada banyak tekanan ke atas hasil cukai kerana terdapat kebergantungan yang tinggi terhadap cukai yang amat diperlukan bagi membantu kewangan kerajaan,” katanya dalam program maya ‘Sembang Ekonomi: Pasca Belanjawan 2022: Ke Arah Pemulihan’ anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) hari ini.

Farah berkata salah satu kaedah dalam meningkatkan pendapatan adalah dengan mengharmonikan cukai langsung dan tidak langsung serta merumuskan langkah-langkah cukai jangka panjang.

“Langkah rejim cukai adalah perlu untuk mengecilkan defisit belanjawan dan mungkin ada kaedah bagi mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan. Dan bagaimana pula dengan ekonomi bayangan, yang mana 18 peratus ekonomi Malaysia dibayangi dengan pendapatan yang wujud di sana?” soalnya.

Beliau juga berpendapat terdapat keperluan untuk mengubah sistem pentadbiran cukai dan rangka kerja melalui pendigitalan serta automasi.

Kajian telah menunjukkan negara-negara seperti Brazil dan Mexico yang melaksanakan pendigitalan cukai telah berjaya meningkatkan hasil cukai mereka.

Farah ketika mengulas mengenai cadangan cukai yang terkandung dalam Belanjawan 2022 telah menjuruskan ke arah penghapusan pengecualian cukai bagi pendapatan bersumberkan asing berkuat kuasa 1 Jan 2022.

“Langkah ini dijangka menyumbang kira-kira RM3 bilion kepada hasil kerajaan tetapi jika ia dihapuskan daripada kredit kerana tidak sewajarnya ada cukai berganda, mungkin kesan bersih akan berkurangan iaitu sekitar RM1.5 hingga RM2 bilion.

“Kita mesti melihat sama ada kesan (daripada langkah ini) akan memberi kesan kepada Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Cukai Makmur, yang dikenakan sekali sahaja ke atas syarikat-syarikat besar yang menjana keuntungan lebih daripada RM100 juta, akan menyebabkan mereka melewatkan pelaporan “keuntungan luar biasa” kepada 2023.

BERITA BERKAIT
POPULAR