Projek HSR: Saman terhadap empat tokoh politik dibatalkan mahkamah

December 15, 2023 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan kerajaan dan empat tokoh politik untuk membatalkan saman yang difailkan seorang individu atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan melakukan kecuaian berhubung pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura (HSR).

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa Mohd Hatta Sanuri tidak mempunyai locus standi untuk memulakan saman dan ia menyalahgunakan proses mahkamah, lapor Bernama.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan dan empat tokoh politik untuk membatalkan saman itu,” katanya dan mengarahkan Mohd Hatta membayar kos RM10,000.

Pada 30 Dis tahun lepas, Mohd Hatta memfailkan saman itu bagi pihaknya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang didakwa terkesan dengan keputusan defendan, dan menamakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kerajaan Malaysia, sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa pembatalan projek itu sebagai batal dan tidak sah, serta memohon kesemua defendan membayar pampasan RM1 juta kepadanya dan semua rakyat Malaysia kerana secara salah dan cuai membatalkan projek HSR.

Roz Mawar dalam penghakimannya berkata bagi kes ini, kapasiti plaintif untuk mewakili kepentingan semua rakyat Malaysia dalam kapasiti undang-undang tidak dibuktikan oleh piawaian undang-undang berkaitan.

“Jadi, tiada dalam pernyataan tuntutan yang menunjukkan bahawa hak persendirian atau peribadi plaintif diganggu oleh defendan, atau berlaku gangguan terhadap hak yang lazim kepada semua orang awam sekiranya dia mengalami ganti rugi khas terhadap dirinya.

“Selain itu, plaintif yang mendakwa mewakili rakyat Malaysia gagal mendedahkan pernyataan tuntutannya bahawa dia sememangnya diberi kuasa atau dilantik atau mewakili setiap pembayar cukai atau warganegara Malaysia,” katanya.

Roz Mawar berkata plaintif memulakan saman ini mengguna pakai dana awam, dan sumber kehakiman telah digunakan untuk meneliti pernyataan tuntutan plaintif yang panjang dan berbelit-belit, yang tidak mendedahkan tindakan munasabah.

“Kesimpulan yang munasabah dan logik ialah saman ini tidak difailkan oleh plaintif dengan niat baik. Ini merupakan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Roz Mawar berkata adalah mustahak mahkamah dan badan kehakiman mengelak daripada terlibat dalam perkara ini yang berada dalam bidang kuasa cabang eksekutif dan perundangan.

“Melayan saman ini akan menetapkan duluan yang melampaui batas kemampuan perundangan terhadap keputusan dasar, yang bertentangan dengan prinsip pemisahan kuasa. Urusan badan kehakiman, terutamanya mahkamah ini adalah untuk mentadbir keadilan, hak dan liabiliti,” katanya.

Peguam Nur Izatul Nabila Nazarudin mewakili Mohd Hatta, manakala Peguam Kanan Persekutuan Donald Joseph Franklin mewakili semua defendan.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dis 2020.

Sehubungan itu, Malaysia membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

Projek itu dijangka menyediakan tiga servis utama iaitu perjalanan secara langsung antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, khidmat domestik di Malaysia dan shuttle dari Iskandar Puteri (Johor) sehingga Singapura.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Popular
MP PAS gesa batal kebenaran cabutan 22 kali judi
September 28, 2021
Kenapa harga ayam meningkat?
May 26, 2022
Minyak botol vs minyak peket
July 20, 2022
4,053 doktor kontrak dilantik ke jawatan tetap: Menteri Kesihatan
August 16, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok