
Wan Saiful mencadangkan Fadhlina mengadakan pertemuan dengan pengusaha kantin untuk mencari jalan penyelesaian isu kenaikan harga makanan.
Menteri Pendidikan Kerajaan PH-BN, Fadhlina Sidek digesa mencari dan mengetengahkan segera formula bagi menyelesaikan harga makanan di kantin sekolah yang dikatakan melonjak sehingga 50 peratus sejak kebelakangan ini.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata sejak sesi persekolahan 2023 bermula, ibu bapa dan waris murid mula merungut mengenai harga makanan di kantin sekolah yang meningkat mendadak.
Tetapi, sehingga kini belum ada apa-apa kenyataan daripada Menteri Pendidikan Kerajaan PH-BN berhubung kenaikan harga makanan itu, katanya dalam kenyataan hari ini (9 Januari 2023). Sebelum ini, beliau menerima aduan daripada ibu bapa di kawasan Parlimen Tasek Gelugor yang diwakilinya.
Sambil menyindir, beliau bagaimanapun menasihatkan Fadhlina supaya tidak meminta nasihat daripada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang dikatakannya memperkenalkan formula aras tinggi.
“Jangan pula lepas ini, Menteri Pendidikan mencari formula aras tinggi ajaran Rafizi Ramli bahawa kalau harga makanan kantin tinggi, maka “by right” pelajar mesti kurangkan makan di kantin,” katanya merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden PKR itu berhubung isu harga ayam.
23 Disember lalu, Rafizi berkata walaupun harga ayam meningkat tetapi pengguna masih membelinya pada harga yang lebih tinggi.
“Sewajarnya jika harga ayam itu sudah terlalu mahal kita tidak membelinya,” kata Rafizi.
Wan Saiful mencadangkan Fadhlina mengadakan pertemuan dengan pengusaha kantin untuk mencari jalan penyelesaian isu kenaikan harga makanan itu.
“Antara perkara yang boleh dipertimbangkan ialah pemberian moratorium sewa atau subsidi kos operasi kepada pengusaha kantin yang kebanyakannya adalah usahawan kecil Bumiputera.
“Sebagai kerajaan, bantulah rakyat. Bukan sibuk berebut kuasa dan bergaduh sesama sendiri,” katanya melihat kerajaan PH-BN gagal menjaga kebajikan rakyat yang semakin terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.