RM1.4 bilion bantu mangsa banjir, kata PM – cc Asyraf Wajdi, Pemuda

December 29, 2021 · Isu semasa

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan dengan nilai keseluruhan RM1.4 bilion, kepada mangsa banjir, termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI)

Pada masa sama beliau turut memaklumkan kerajaan melakukan beberapa penambahbaikan berkaitan BWI antaranya:

Pertama: RM1,000 ringgit kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir;

Kedua: Menyalurkan kepada semua KIR yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS);

Ketiga: RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia; dan

Keempat: Mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut.

Perdana Menteri (PM) dipercayai membuat penjelasan panjang lebar berhubung bantuan kepada mangsa banjir hari ini, setelah beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki mempertikai jumlah bantuan yang diberi yang dianggap sedikit.

Malah, dalam kenyataannya semalam, Asyraf Wajdi berkata:

“Nak baiki kereta yang ditenggelami banjir yang dianggarkan antara RM4 ribu-RM10 ribu pun tak cukup”.

Beliau turut menggesa BWI diperluaskan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik, termasuk golongan M40 dan B40 yang hilang punca pendapatan akibat dibuang, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup akibat PKP berpanjangan dan lain-lain. Berita berkaitan

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan menyedari mangsa banjir memerlukan wang tunai, dan setiap kerajaan negeri yang terlibat telah mula membuat bayaran BWI pada 27 Disember dan dijangka selesai minggu ini.

“Bagaimanapun Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai. Bagi tujuan ini, saya telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” katanya.

Menurutnya data terkini menunjukkan, lebih 30,000 KIR telah didaftarkan untuk menerima BWI dan pihak NADMA telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 negeri.

Berhubung bayaran BWI untuk kematian pula, PM berkata seramai 25 orang waris telah menerima bantuan RM10,000 seperti diumumkan.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir. Selain itu, kerajaan turut menambah RM50 juta lagi khusus untuk negeri Selangor dan Pahang bagi tujuan yang sama.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak,” jelasnya.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor yang dilantik, sedang giat menjalankan kerja pembersihan di kawasan yang terkesan dengan bencana banjir.

Bagi mempercepat kerja-kerja mengutip, membersih dan menghantar sisa banjir ke tapak pelupusan, KPKT telah menambah bilangan sumber tenaga dengan melantik lebih banyak kontraktor untuk turun ke lapangan termasuk kawasan-kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini.

Kerajaan memperuntukkan RM10 juta tambahan antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa.

Setakat 28 Disember 2021, sebanyak 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di lima buah negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka yang melibatkan lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan KPKT,” kata Ismail Sabri.

PM sekali lagi menjelaskan bagi menambah akses tunai kepada mangsa yang memerlukan, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta telah menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar 0 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

Selain itu, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) juga dengan ketersediaan dana RM500 juta telah menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana atau DRF melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha PKS dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro.

Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun.

Permohonan untuk pinjaman BSN dan dana DRF telah mula dibuka pada 27 Disember 2021 lalu. Untuk makluman, dalam dua hari pertama sahaja iaitu setakat 28 Disember 2021, BSN telah menerima nilai permohonan sebanyak RM25 juta dan sudahpun meluluskan pinjaman bernilai RM10 juta.

Bagi memastikan bantuan yang menyeluruh, di samping bantuan tunai, kerajaan juga akan menyediakan bantuan pembaikan rumah dan kenderaan peribadi serta bantuan keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir.

Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan atau GLIC dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC telah menubuhkan GLIC/GLC Disaster Response Network atau GDRN bertujuan menggerakkan usaha menangani dan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Sejak 19 Disember lalu, GDRN telah membantu kira-kira 15,000 keluarga.

“Selanjutnya, seperti yang telah saya umumkan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan rebat 100 peratus bil elektrik kepada pengguna domestik yang terkesan akibat banjir bagi bulan Disember 2021.

“Menyedari musibah banjir turut menyebabkan kerosakan banyak peralatan elektrik di rumah, sukacita saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyediakan pemberian baucar kepada mangsa-mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik yang telah rosak.

“Setiap KIR yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilai RM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” katanya.

Bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan peribadi mereka, beberapa inisiatif turut dilaksanakan iaitu:

1. Perodua akan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma. Perodua turut bersetuju memberikan kos upah baik pulih dan servis berkaitan secara percuma dan diskaun sebanyak 50% ke atas alat ganti;

2. Proton juga bersetuju memberi diskaun alat ganti sebanyak 50% bagi kebanyakan model kereta serta menawarkan caj tunda dan cuci kereta secara percuma di pusat-pusat servis mereka yang berdaftar;

3. Bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua telah bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25% atau lebih, ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar. Beberapa syarikat turut menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun dan

4. Baucar sebanyak RM1,000 untuk digunakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang telah mengalami kerosakan total.

Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang holistik melalui pelbagai inisiatif dan langkah bagi memastikan kebajikan Keluarga Malaysia sentiasa terjamin. Semoga kesemua inisiatif di atas dapat membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir.

“Sama-sama kita berusaha dan berdoa agar impak bencana banjir ini dapat ditangani dengan segera agar kita boleh menumpukan usaha kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan.

“Keluarga besar kita yang berada di Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur terpaksa mengharungi episod sukar akibat bencana itu,” katanya.

PM berkata kediaman tempat mereka membina kehidupan ditenggelami air, harta benda rosak teruk dengan ada juga hanyut dibawa arus.

“Lebih mendukacitakan, ada sebilangan mereka hilang harta paling berharga iaitu ahli keluarga tersayang buat selama-lamanya. Saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Kepada yang beragama Islam, marilah kita sama-sama sedekahkan AlFatihah dan berdoa agar roh mangsa ditempatkan bersama golongan solihin.

“Bagi yang bukan Islam, marilah kita bertafakur sejenak dan menginsafi musibah ini,” katanya.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
Harga roti Gardenia naik 1 Disember
November 25, 2021
Selesaikan isu harga makanan di kantin, jangan ikut formula Rafizi
January 9, 2023
Pelajar sekolah balik cuti raya Cina tak dibenar pulang ke asrama
February 5, 2022
Kilang pemasangan Porsche pertama Malaysia dilancar di Kedah
March 28, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok