Asyraf sindir PM sambil tanya kemudahan pinjaman bantuan atau galak hutang?

Isu mengenai pengeluaran one-off RM10,000 i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih menjadi pertarungan Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki, setelah popularitinya merudum 95 peratus kerana desakan dibawanya tidak dipedulikan kerajaan dipimpin parti itu.

Terbaharu hari ini beliau seperti menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menganggap kemudahan pinjaman yang disediakan menerusi beberapa agensi, termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tekun, akan menambah beban hutang orang ramai.

Menerusi kenyataan ‘Alternatif kepada i-Citra KWSP: Tambahan bantuan atau galakkan berhutang’, Asyraf Wajdi menyifatkan kemudahan pinjaman yang diumumkan Ismail Sabri sebagai inisiatif berhutang yang tidak menyelesaikan masalah.

Beliau membuat kenyataan itu dipercayai sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri (PM) bahawa kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang KWSP berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Dua hari lalu, Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat kerana kerajaan telah memperuntukkan dana serta bantuan yang mencukupi kepada mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara ketika ini.

Menurutnya, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, akan ada yang berisiko menjadi miskin tegar selepas bersara.

“Ada banyak kemudahan diumumkan kepada mangsa banjir. Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, Tekun Nasional menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium, iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.

“Bank seperti BSN juga akan beri pinjaman RM10,000 secara pinjaman persendirian untuk beli barangan keperluan asas rumah dengan tanpa faedah dan enam bulan moratorium,” kata Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi bagaimanapun tetap mendakwa kononnya rakyat menuntut pengeluaran wang simpanan hari tua mereka sendiri kerana keadaan kecemasan luar biasa akibat pandemik dan musibah banjir.

“Bantuan Kerajaan hakikatnya tidak mencukupi dan tidak mencakupi semua lapisan yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.

“Inisiatif berhutang melalui skim pinjaman Tekun atau kemudahan BSN tidak akan menyelesaikan masalah semua pihak kerana ada yang tidak layak, bahkan menambah beban rakyat dengan lilitan hutang berpanjangan yang tiada berkesudahan,” tegasnya.

Ketua Pemuda UMNO itu sejak beberapa bulan lalu kerap membangkitkan isu pengeluaran one-off RM10,000 i-Citra, malah sebelum pembentangan Bajet 2022 Oktober lalu pun beliau begitu yakin permohonan itu akan diluluskan, sehinggakan ramai percaya kepadanya.

Namun, beliau menjadi sasaran kecaman sehingga popularitinya merosot teruk kerana gagal menjelaskan kenapa PM daripada UMNO enggan menurut kehendak sayap parti itu meluluskan pengeluaran one-off berkenaan, sedangkan PM sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh memperkenalkan pengeluaran i-Citra.

Disebabkan beliau bukan Ahli Parlimen (MP) – setelah kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu – Asyraf juga meminta bantuan MP Pekan, Najib Razak untuk membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat, namun usaha bekas PM itu juga tidak dipedulikan kerajaan Ismail Sabri.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi yang tetap menuntut one-off itu diluluskan, turut meminta kerajaan meningkatkan jumlah bantuan wang ihsan daripada RM1,000 sehingga RM5,000 kepada mangsa banjir.

“Nak baiki kereta yang ditenggelami banjir yang dianggarkan antara RM4 ribu-RM10 ribu pun tak cukup,” katanya sambil turut menggesa bantuan wang ihsan juga diperluaskan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik, termasuk golongan M40 dan B40 yang hilang punca pendapatan akibat dibuang, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup akibat PKP berpanjangan dan lain-lain.

Beliau juga mengingatkan jika kerajaan sanggup berbelanja untuk rakyat dan menyediakan pelan serta pakej bantuan secara komprehensif berjangka pendek dan panjang, sudah tentu isu pengeluaran KWSP tidak timbul lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR