
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Kejatuhan nilai mata wang ringgit benar-benar merupakan kejatuhan nilai wang yang terburuk pada tahun ini.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kerajaan campuran tidak berupaya dalam memberi penyelesaian mampan ketika berlakunya krisis sebegitu.
“Minggu ini saja ringgit terpelosok yang mana 1 Dolar AS bersamaan RM4.72 yang merupakan terburuk dalam tahun ini dan seperti biasa kerajaan masih tidak berbuat apa-apa,” katanya dipetik laporan HarakahDaily.
Beliau menyatakan, krisis penurunan nilai matawang juga pernah berlaku pada tahun 2017 dan 2018 tetapi tidak seburuk pada tahun ini kerana kebijaksanaan pentadbiran yang dilakukan oleh kerajaan ketika itu.
Tambah beliau, seharusnya kerajaan pada masa ini seharusnya lebih bijak dalam menghadapi masalah tersebut tetapi perkara sebaliknya pula yang terjadi.
“Ketika tahun 2017 dan 2018, negara juga berdepan masalah ringgit yang mulai melemah, di samping desakan untuk menaikkan harga barangan oleh pemain industri tetapi kebijaksanaan kepimpinan tidak menjerumuskan negara ke kancah krisis seperti yang berlaku hari ini,” jelasnya lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan seharusnya mengambil pengajaran daripada Mantan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam menangani masalah tersebut.
“Antara perkara yang beliau lakukan ialah ketika harga barangan dunia melambung beliau bukan sahaja menetapkan harga siling, tetapi diperkenalkan pula program Jualan Sentuhan Rakyat di seluruh 222 kawasan Parlimen dua kali setiap bulan.
“Malah, beliau juga tidak tunduk dengan mana-mana pemain industri seperti gula yang menggesa untuk naikkan harga gula dan menyediakan bekalan gula tetap berkekalan dengan kaedah penyelesaian yang bersifat menang-menang,” katanya.
Tambah beliau, walaupun Hamzah diberikan gelaran yang memalukan tetapi masih berupaya meredakan kegelisahan rakyat serta menghadirkan senyuman dalam kalangan peniaga dan pemain industri.
“Jadi, apa yang saya ingin menegaskan ialah kerajaan seharusnya mencari solusi yang bagus seperti mana yang ditunjukkan oleh beliau dalam menangani isu-isu sebegini.
“Ini kerana kebajikan rakyat adalah perkara pertama yang perlu diberikan perhatian oleh mana-mana kerajaan sekalipun,” katanya.