
Petugas kesihatan berdepan risiko setiap kali mengendalikan kes berkaitan Covid-19.– Gambar Agenda Daily, 19 Mei, 2021.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) merayu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar meneliti isu petugas rawatan kesihatan swasta yang berdepan masalah untuk ke tempat kerja kerana tidak mempunyai surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Presidennya MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata menerima banyak aduan mengenai pekerja berkenaan ditahan oleh pihak berkuasa kerana tidak mempunyai surat kebenaran MITI sebagaimana yang diperlukan oleh pekerja sektor perkhidmatan penting.
“Dua hari lepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa pekerja pusat rawatan kesihatan swasta hanya perlu menunjukkan bukti bahawa mereka adalah petugas kesihatan swasta sahaja sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR).
“Sekiranya mereka berhadapan dengan masalah, ini bermakna komunikasi kerajaan tidak sampai kepada jabatan berkaitan di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata klinik swasta, hospital dan klinik pergigian adalah berdaftar dengan KKM dan menyediakan perkhidmatan perlu kepada petugas barisan hadapan.
Selain itu menurutnya pengamal perubatan swasta turut terlibat dalam menjalankan tugas saringan besar-besaran dan diperlukan untuk merentas daerah dari semasa ke semasa.
“Kebenaran perlu diberikan kepada mereka untuk meneruskan perjalanan sebaik sahaja mereka menunjukkan dokumen yang berkaitan kepada pihak berkuasa,” katanya.
“Kita harapkan agar petugas kesihatan swasta diberikan sokongan yang perlu daripada kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menyediakan perkhidmatan yang diperlukan rakyat,” tambahnya.