Lebihan dagangan meningkat 21.4 peratus pada Mei 2023: MITI

June 20, 2023 · Isu semasa

Lebihan perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 21.4 peratus kepada RM15.42 bilion pada Mei 2023 yang merupakan bulan ke-37 berturut-turut mencatat pertumbuhan dua digit sejak Mei 2020.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata eksport turut memaparkan tanda-tanda pemulihan dengan mencatat pengurangan marginal sebanyak 0.7 peratus kepada RM119.61 bilion berbanding penyusutan dua digit pada bulan lepas, didorong oleh peningkatan eksport dalam produk petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan makanan diproses, menurut laporan Bernama.

“Eksport ke negara-negara rakan dagang utama khasnya China, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun merekodkan peningkatan,” katanya dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Luar Bagi Mei 2023 dan Tempoh Jan-Mei 2023, hari ini.

Bagaimanapun, MITI berkata import susut 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM104.19 bilion pada Mei 2023, menjadikan jumlah dagangan turun dua peratus tahun ke tahun kepada RM223.8 bilion dalam bulan itu dan seiring dengan kelemahan permintaan global dan harga komoditi yang lebih rendah.

Prestasi perdagangan Malaysia pada Mei 2023 juga seiring dengan rakan serantau seperti China, Taiwan dan Korea Selatan yang turut mencatat pertumbuhan perdagangan negatif bagi bulan sama.

Bagi tempoh lima bulan pertama 2023, kementerian itu berkata jumlah perdagangan susut 1.7 peratus tahun ke tahun kepada RM1.066 trilion manakala eksport turun 2.3 peratus kepada RM579.39 bilion dan import susut satu peratus tahun ke tahun kepada RM486.96 bilion.

Lebihan dagangan berkurangan 8.7 peratus tahun ke tahun kepada RM92.43 bilion.

Merujuk perdagangan dengan negara-negara Asean, MITI berkata aspek itu yang mewakili 28.4 peratus atau RM63.61 bilion daripada jumlah keseluruhan, berkurangan sebanyak lima peratus tahun ke tahun dengan eksport turun 1.6 peratus kepada RM36.38 bilion.

“Ini disebabkan oleh pengurangan permintaan bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, barangan besi dan keluli serta keluaran petroleum.

Import pula susut 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM27.24 bilion.

MITI menyatakan, bagi tempoh Januari hingga Mei 2023, perdagangan dengan Asean jatuh sebanyak 1.2 peratus kepada RM293.08 bilion berbanding tempoh sama pada 2022 dengan eksport meningkat satu peratus kepada RM172.99 bilion, disokong oleh kenaikan eksport keluaran petroleum dan barangan E&E.

Import dari Asean juga susut 4.2 peratus kepada RM120.08 bilion.

Perdagangan dengan China yang menyumbang sebanyak 16.6 peratus atau RM37.07 bilion kepada jumlah perdagangan Malaysia pula mencatat penurunan kecil sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2023 dengan eksport meningkat 1.5 peratus kepada RM15.49 bilion.

Pertumbuhan ini telah dipacu oleh peningkatan permintaan bagi bijih logam dan serpihan logam, gas asli cecair (LNG) serta kimia dan bahan kimia.

Import dari China berkurangan sebanyak 1.4 peratus kepada RM21.58 bilion pada tempoh tersebut.

“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2023, perdagangan itu turun 4.3 peratus kepada RM179.76 bilion berbanding tempoh sama pada 2022 dengan eksport menguncup 8.9 peratus kepada RM75.31 bilion manakala import dari China turun 0.6 peratus kepada RM104.45 bilion.

Kementerian itu berkata perdagangan dengan AS yang merangkumi 9.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun kepada RM20.9 bilion pada Mei 2023.

Eksport ke AS juga kembali kukuh dengan peningkatan dua digit sebanyak 14.9 peratus kepada RM13.77 bilion selepas mencatat pertumbuhan negatif pada bulan lepas, dipacu oleh kenaikan eksport yang kukuh khasnya bagi barangan E&E.

Import bagaimanapun turun 11.3 peratus tahun ke tahun kepada RM7.13 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2023, MITI berkata perdagangan dengan AS turun secara marginal sebanyak 0.5 peratus kepada
RM98.35 bilion berbanding tempoh sama pada manakala eksport meningkat 2.5 peratus kepada RM63.98 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E dan keluaran petroleum.

“Import dari AS turun 5.6 peratus kepada RM34.37 bilion pada Mei 2023,” katanya.

Berita berkaitan
Dengar cerita warga China sertai MM2H layak dapat PR, dakwa MP Masjid Tanah
December 16, 2023· Politik
Bursa dibuka rendah, pasaran lemah
December 7, 2023· Isu semasa
Pengecualian visa 30 hari akan tingkatkan pelancong China: King Sing
December 5, 2023· Isu semasa
PM umum pengecualian visa untuk rakyat China dan India bermula 1 Dis
November 27, 2023· Isu semasa
Popular
4,053 doktor kontrak dilantik ke jawatan tetap: Menteri Kesihatan
August 16, 2022
Penulis buku Daim Zainuddin diperintah bayar saman RM1.2 juta
June 6, 2023
NGO desak tanah rizab Melayu dikembalikan di Sitiawan, pertikai langkah pindah milik
September 26, 2023
‘Terengganu Menangis’: 26 hadir kenduri terjangkit Covid-19
April 16, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok