
Penulis Britain, Michael Backman diperintah membayar ganti rugi RM1.2 juta kepada bekas ahli perbankan dan Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong kerana memfitnahnya dalam buku tulisannya, ‘Daim Zainuddin: Malaysia’s Revolutionary and Troubleshooter’, lapor BH.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Roz Mawar Rozain dalam keputusannya hari ini berkata ganti rugi itu diberikan kerana kenyataan fitnah tersebut menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh diukur dan hanya boleh dibayar melalui ganti rugi oleh mahkamah.
Roz Mawar berkata ganti rugi yang diberikan berdasarkan kedudukan Kooi Ong dalam lingkungan perniagaan di Malaysia, serantau dan seluruh dunia dan mendapati ganti rugi berjumlah RM600,000 adalah munasabah sebagai ganti rugi am.
Beliau berkata, oleh kerana Backman tidak memasukkan kehadiran (tidak menjawab tuntutan saman) dan merasakan beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah di negara ini, mahkamah mendapati tindakan itu wajar bagi ganti rugi teruk diberikan kepada plaintif.
Sehubungan itu, katanya mahkamah memberikan tambahan RM600,000 sebagai ganti rugi teruk.
Hakim turut memerintahkan Backman membayar kos sebanyak RM100,000.
Pada 5 April lalu, mahkamah membenarkan injunksi dipohon Kooi Ong bagi melarang Backman daripada mengulangi kenyataan fitnah dalam buku berkenaan dan supaya buku terbabit dikeluarkan daripada pasaran.
Kooi Ong memfailkan saman terhadap Backman pada September tahun lalu berhubung penerbitan buku pada 2018 itu.