Perbelanjaan pengguna merosot pada 2023?

August 29, 2023 · Isu semasa

“Bulan lepas sewa RM1,600 lebih, bulan ini terus jadi RM1,800. Apabila OPR naik lagi, saya bimbang kadar sewa boleh mencecah RM2,000 selepas ini.

“Itu sebab kalau aliran tunai di paras ‘minimum’ dan tak pernah dikenakan kenaikan kadar sewa lebih tiga tahun, kemungkinan ­aliran tunai boleh menjadi negatif.” Begitulah keluhan seorang pekerja swasta mengenangkan nasibnya pada tahun ini.

Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal tahun ini mengekalkan ramalannya bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang dalam julat empat  hingga lima peratus pada 2023, sesetengah pakar ekonomi berpendapat bahawa beberapa cabaran dan ketidaktentuan ekonomi seperti kesan kenaikan kadar faedah, rasionalisasi subsidi, ketidaktentuan politik dan prestasi global yang perlahan mungkin menjejaskan prospek perbelanjaan jangka pendek pengguna di Malaysia pada separuh kedua 2023.

Pada 3 Mei 2023, BNM telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25 kepada 3 peratus. Ini adalah kali pertama tahun ini OPR dinaikkan selepas dikekalkan pada kadar 2.75 peratus sebanyak dua kali dalam bulan Januari dan Mac.

Kadar faedah yang meningkat ini akan memberi tekanan kepada peminjam untuk membayar hutang sedia ada mereka selain menjejaskan kemampuan mereka untuk berbelanja seperti biasa. Kesan jangka pendek bagi situasi ini ialah sektor runcit dan perniagaan yang bergantung kepada permintaan dan perbelanjaan pengguna akan terkesan.

Selain itu, cadangan rasionalisasi subsidi yang diumumkan oleh pihak kerajaan baru-baru ini yang berhasrat untuk mengenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan juga dijangka boleh memberi kesan negatif jangka pendek kepada perbelanjaan domestik pengguna.

Ini kerana secara umumnya, sebarang pengurangan dalam subsidi akan meningkatkan inflasi dan mengurangkan kuasa beli pengguna. Keadaan ini hanya boleh dielakkan jika langkah tersebut dilakukan secara beransur-ansur dan cekap seperti mengekalkan subsidi bersasar kepada golongan yang berpendapatan rendah serta kurang bernasib baik.

Secara keseluruhannya, corak perbelanjaan pengguna pada separuh kedua 2023 dijangka merosot disebabkan pelbagai faktor dalaman dan luaran yang disebutkan tadi.

Dalam pada itu, perunding kewangan, Dr. Adam Zubir berkata, implikasi kenaikan OPR hanya melibatkan mereka yang mempunyai pembiayaan dengan kadar yang berubah-ubah.

“Jika pinjaman individu tersebut adalah tetap, maka dia tidak perlu risau. Namun, kebanyakan daripada kita yang mempu­nyai pinjaman rumah, pinjaman Amanah Saham Bumiputera dan kad kredit sememangnya akan terkesan.

“Ia akan menyebabkan komitmen bulanan dinaikkan dan kelayakan pinjaman bank juga akan diperketatkan disebabkan lebihan pendapatan semakin berkurang,” katanya.

Selain itu, Adam menjelaskan bahawa kuasa membeli yang dimiliki oleh seseorang individu itu juga menjadi semakin mengecil.

“Sebagai contoh, jika anda mempunyai gaji sebanyak RM3,000 dan hutang pinjaman pula RM1,500. Kuasa membeli adalah separuh daripada pendapatan.

“Namun, apabila OPR naik, mungkin hutang pinjaman menjadi RM1,600, maka kuasa membeli menurun kepada hanya RM1,400,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan untuk mengawal perbelanjaan dan mengurus kewangan bagi menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini yang disifatkan sementara sebelum keadaan ekonomi kembali stabil.

Berbelanja apa yang perlu sahaja sementara menanti keadaan ekonomi kembali stabil.

Berita berkaitan
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024· Isu semasa
Sekarang rakyat cakap balik kepada Tambun, ‘Hang yang tak reti jaga negeri’
March 5, 2024· Politik
Kerajaan sedar tak rakyat sedang tertekan hari ini? soal Senator UMNO
December 13, 2023· Isu semasa
Kejatuhan ‘rating’ Anwar juga disumbang kegagalan Rafizi, kata penganalisis
November 25, 2023· Politik
Popular
Selepas harga barang asas, kini harga besi dan simen juga naik pada Januari
February 8, 2023
Baik dan buruk apabila guru berpolitik
February 7, 2022
Minyak botol vs minyak peket
July 20, 2022
Penganggur mengaku tak bersalah buat hantaran hina Sultan Johor
April 28, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok