
Polis melakukan pemantauan di bazar Ramadan sekitar Negeri Sembilan. - Gambar MKN
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memberi amaran kerajaan negeri akan menutup bazar Ramadan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selama tiga hari.
Katanya, amaran itu diberikan kepada semua pihak, termasuk pengusaha bazar dan orang ramai bagi mengekang penyebaran virus Covid-19 dan kewujudan ‘Kluster Bazar Ramadan’.
Katanya, beliau menerima maklumat berlaku masalah di bazar Ramadan Nilai dan meminta datuk bandar memberi peringatan kepada pengajur dan pengusaha bazar itu supaya mematuhi SOP.
“Kita juga serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lain termasuk kompaun jika mereka masih ingkar arahan,” katanya pada Sabtu.
Aminuddin berkata, selain Nilai, bazar Ramadan di Seremban juga dilaporkan mempunyai masalah dari aspek pematuhan SOP, namun daerah lain berada dalam keadaan baik dan lancar.