
Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan bazar Ramadan Jalan Raja Alang dan Taman Setiawangsa meneruskan operasi seperti biasa selepas diarah tutup kelmarin.
DBKL dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah anggota penguat kuasa juga ditambah bagi memastikan segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
“DBKL tidak akan berkompromi atas ketidakpatuhan kepada SOP dan tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang terlibat.
“DBKL juga telah mensyaratkan kepada pihak penganjur untuk bersama-sama memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan berkesan,” menurut kenyataan itu.
DBKL berkata, langkah meneruskan operasi diambil selepas pihaknya menerima maklumat terbaharu mengenai bazar berkenaan, dan penambahan bilangan penguatkuasa bertujuan memastikan SOP terus diperketat dan dipatuhi.
Kedua-dua bazar itu adalah antara 22 yang disenaraikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan semalam sebagai yang perlu ditutup selama tiga hari bermula hari ini bagi tujuan sanitasi dan memperkemaskan semula SOP.