
Urus niaga perdagangan elektronik atau dalam talian.
Sebanyak 9,323 aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP) sejak Januari hingga September lalu membabitkan pelbagai salah laku urus niaga perdagangan elektronik atau dalam talian.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada jumlah itu, 8,878 aduan diselesaikan manakala 445 masih dalam siasatan.
Katanya, pecahan aduan itu membabitkan 5,700 aduan kerana tidak menerima barang atau perkhidmatan ditawarkan serta 1,631 aduan pula berkaitan produk diterima, tidak sama seperti ditawarkan.
“Selain itu, 315 aduan membabitkan harga barang atau perkhidmatan mengelirukan, barang tiruan dalam talian (142), cetak rompak dalam talian (30), skim piramid dalam talian (16) serta 1,489 bagi lain-lain aduan,” katanya di Dewan Rakyat.
Alexander berkata, antara tindakan diambil kementerian termasuk siasatan dan pemeriksaan di premis perniagaan atau pengendali atas talian ‘marketplace’ serta menjalinkan kerjasama dengan kementerian dan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menghalang akses laman web atau menurunkan kandungan bagi mana-mana sesawang perniagaan tidak beretika.
“Kementerian turut bekerjasama dengan Pembekal Khidmat Internet (ISP) dan syarikat telekomunikasi (telco) bagi mendapatkan maklumat pemilik laman sesawang atau pemilik talian komunikasi yang terbabit dengan penipuan dalam talian,” katanya.
Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 109,534 perniagaan dalam talian didaftarkan yang menyumbang 42.8 peratus kepada jumlah keseluruhan perniagaan didaftarkan dalam tempoh itu.
“Pada tahun 2020, sebanyak 132,012 perniagaan dalam talian didaftarkan. Pendaftaran ini meningkat 5.8 peratus daripada jumlah pendaftaran perniagaan dalam talian pada tahun 2019.
“Sebanyak 1,611 syarikat menjalankan perniagaan dalam talian didaftarkan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, peningkatan 71.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Jumlah pendaftaran menunjukkan peningkatan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 1,726 syarikat dalam talian didaftarkan manakala sebanyak 1,043 syarikat menjalankan perniagaan dalam talian didaftarkan pada tahun 2019,” katanya lagi.
Katanya, sejak 1 Januari hingga 31 Ogos lalu juga, sebanyak 250 perkongsian liabiliti terhad yang menjalankan perniagaan dalam talian didaftarkan.
Beliau berkata, berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 297,894 perniagaan dalam talian aktif yang direkodkan sehingga 31 Ogos lalu adalah entiti didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
“Seterusnya di bawah Akta Syarikat 2016, 6,415 syarikat dan 1,968 perkongsian liabiliti terhad didaftarkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dan aktif menjalankan perniagaan dalam talian sehingga 31 Ogos lalu,” katanya.