Jenayah siber 3 tahun tinggi: Lesen khas perniagaan dalam talian dikaji

September 26, 2022 · Isu semasa

Ketika penipuan siber berapa pada tahap tertinggi sepanjang masa, kerajaan dilaporkan sedang meneliti undang-undang yang komprehensif untuk meletakkan perniagaan dalam talian di bawah kawalan ketat.

Susulan itu sebuah pasukan petugas khas dilapor sedang menjalankan kajian semula bagi membuka laluan kepada mekanisme pelesenan baharu, dengan peraturan sedia ada dipinda.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid, yang mendedahkan perkara itu, berkata kementerian sedang mempertimbangkan lesen khas untuk perniagaan dalam talian bagi melindungi pengguna daripada penipuan.

“Perniagaan dalam talian dan transaksi digital menjadi trend. Adalah penting untuk memastikan transaksi digital dan perniagaan dalam talian di platform seperti pasaran, media sosial, laman web dan aplikasi beli-belah adalah kondusif dan selamat selain mesra pengguna.

“Kami juga merancang untuk meminda peraturan sedia ada untuk membolehkan mekanisme pelesenan baharu,” katanya menurut TheStar.

Rosol berkata kementerian akan mengkaji model yang digunakan oleh negara seperti Amerika Syarikat, China, Singapura dan Arab Saudi untuk memantau perniagaan dalam talian.

“Kementerian sedang melibatkan penyedia platform dalam talian, persatuan pengguna dan penjual, ahli akademik dan pakar ekonomi bagi memastikan setiap aspek, termasuk perlindungan dan penguatkuasaan pengguna dan penjual, dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya, sambil menambah bahawa cadangan lesen khas itu telah setakat ini mendapat maklum balas positif.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata semakan berkenaan penting kerana kementerian mencatatkan aduan tertinggi berhubung penipuan melibatkan transaksi dalam talian selama tiga tahun berturut-turut.

Ini menunjukkan keperluan untuk penguatkuasaan dan perundangan yang lebih ketat untuk menjaga kepentingan pengguna dan juga peniaga, tambahnya.

“Untuk rekod, daripada jumlah 34,681 aduan pada 2020, 11,511 adalah mengenai transaksi dalam talian. Pada 2021, daripada 27,469 laporan diterima, 11,463 adalah berkaitan dengan transaksi dalam talian.

“Setakat tahun ini, 15,957 aduan telah diterima dengan 4,760 aduan berkaitan transaksi dalam talian,” katanya.

Sementara menunggu undang-undang baharu, Rosol berkata anggota penguat kuasa akan bertindak keras terhadap penipu dalam talian yang menggunakan sepenuhnya undang-undang sedia ada.

Beliau berkata Seksyen 2 Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 mewajibkan setiap perniagaan dalam talian didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dengan pesalah berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Di bawah akta tersebut, adalah wajib bagi peniaga dalam talian untuk memaparkan nama individu/perniagaan atau syarikat; nombor pendaftaran perniagaan; e-mel, nombor telefon atau alamat perniagaan, perihal utama barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan, harga penuh termasuk bayaran penghantaran, pengangkutan, cukai dan kos lain; terma dan syarat serta anggaran masa penghantaran.

Mereka yang gagal mempamerkan butiran ini menghadapi pendakwaan di bawah Peraturan Perlindungan Pengguna 2012 (Transaksi Perdagangan Elektronik).

Rosol berkata pesalah kali pertama berdepan denda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dengan entiti perniagaan berdepan denda maksimum dua kali ganda.

Individu yang melakukan kesalahan kedua atau lebih boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, dengan denda RM200,000 untuk perniagaan.

Rosol berkata kementerian juga menjalankan program advokasi dan pendidikan untuk pengguna berkongsi petua dan kaedah bagi mengelak mereka daripada terjerumus dalam penipuan dalam talian.

Berita berkaitan
Orang ramai dinasihati waspada penyamaran dan penipuan melalui WhatsApp
December 7, 2023· Isu semasa
Bursa dibuka rendah, pasaran lemah
December 7, 2023· Isu semasa
Kertas siasatan libatkan penipuan pelaburan ‘Datuk Wira’ dibuka
November 9, 2023· Isu semasa
‘Datuk’ palsu dikesan polis dalam kes tipu RM1 juta
October 31, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
SC sahkan syarikat diketuai orang kuat Anwar disiasat: Laporan
January 21, 2023
Banjir di Jempol, Gemas terburuk dalam tempoh 50 tahun
January 1, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok