
Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
Kerajaan tidak menyambung khidmat Tan Sri Nor Shamsiah Yunus sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan berakhir pada hujung Jun ini.
Dalam satu kenyataan, BNM mengumumkan Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour akan menggantikan Nor Shamsiah sebagai Gabenor bermula 1 Julai ini.
Abdul Rasheed akan memegang jawatan itu selama lima tahun hingga 30 Jun 2028.
“Beliau akan mengambil alih jawatan gabenor daripada Nor Shamsiah Yunus yang akan menyempurnakan tempoh lima tahun perkhidmatannya pada 30 Jun ini,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Abdul Rasheed berkata pelantikan itu adalah satu penghormatan pada dirinya dan beliau berazam untuk meneruskan usaha Shamsiah di Bank Negara.
“Di bawah kepimpinan beliau, Bank Negara terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan juga kewangan
meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik,” katanya.
Abdul Rasheed mula berkhidmat di Bank Negara pada 1988 dan dilantik sebagai timbalan gabenor pada 2016. Beliau memperoleh ijazah
Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya sebelum melanjutkan pelajaran di Said Business School di Universiti Oxford.
Sepanjang kerjayanya, Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan.