
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dakwaan mengatakan kerajaan menarik balik subsidi sehingga membebankan rakyat adalah tidak benar, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri menjelaskan sebaliknya peruntukan subsidi RM77 bilion yang disediakan pentadbirannya ketika ini adalah tinggi, malah ia melebihi peruntukan asal RM31 bilion bagi 2022.
“Tidak ada subsidi yang ditarik balik, kalau ada kempen-kempen yang mengatakan sila kembalikan subsidi, itu tidak betul kerana subsidi tidak pernah ditarik balik sejak daripada mula kita laksanakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, subsidi itu termasuk minyak masak berjumlah RM4 bilion, gandum (RM40 juta), gas petroleum cecair (RM2.6 bilion), diesel (RM7.5 bilion) dan RON95 (RM27 bilion).
Jelasnya lagi, subsidi yang diberikan kerajaan menyebabkan kadar inflasi negara berada pada 2.8 peratus, terendah di Asia Tenggara.
Ismail juga berkata kerajaan turut menambah bantuan kewangan tunai melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), dengan golongan B40 menerima maksimum RM2,600 setahun.
“Insya-Allah kita tengok keadaan, kalau perlu naik, kita naikkan, kalau harga barang sudah stabil kita tidak naikkan,” katanya.
Sementara itu menjawab soalan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai perbezaan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Ismail Sabri berkata pasukan khas itu menumpukan isu semasa dan terkini mengenai kenaikan harga barangan.
Sebaliknya beliau berkata NACCOL yang bermesyuarat dua kali setahun membincangkan isu dasar yang bukan hanya meliputi harga barangan malah antaranya kos pengangkutan dan isu perumahan.
“Pasukan khas ini yang dipengerusikan Ketereh (Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa) perlu membuat pengumuman atau sidang akhbar dua kali seminggu, jadi rakyat tahu perkembangan dan apa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.
Ismail Sabri turut berkata kerajaan sedang mengambil tindakan mengekang aktiviti penyeludupan barangan yang disubsidi seperti minyak masak di peringkat industri dan di sempadan negara.
Beliau berkata pihak berkuasa akan melakukan audit terhadap pengilang dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai pembeli mereka.
“Yang paling senang menyeleweng contohnya pembungkus minyak (repackers), mereka diberi kebenaran untuk membungkus satu tan minyak masak contohnya, ke mana minyak masak itu dihantar, jadi kita akan dapatkan maklumat terperinci di kilang-kilang itu, siapa penerima minyak masak berkenaan,” katanya.
Menurutnya dari segi penyeludupan di sempadan pula kerajaan telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terlibat mengawasi aktiviti itu, selain pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Kerajaan tidak berdiam diri, Perdana Menteri tidak boleh dikatakan tak melakukan apa-apa tindakan, Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk negara,” katanya.