Hakim beri amaran jangan lantang ulas kes Bella dalam media sosial

April 21, 2022 · Isu semasa

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen di media sosial berhubung perbicaraan kes membabitkan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella, yang sedang berlangsung ketika ini.

Amaran itu dikeluarkan Hakim Izralizam Sanusi selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nor Azizah Mohamad memaklumkan kepada mahkamah bahawa orang ramai masih membuat hantaran di laman sosial berhubung kes tersebut seperti ‘Justice for Bella’ dan ‘Justice for Bella macam mustahil di dunia ini’.

“Mahkamah akur dengan semua rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara, namun, mahkamah mengingatkan terdapat undang-undang yang berkuat kuasa yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang dikatakan mengeluarkan kenyataan melampau dalam penulisan, hantaran, komen dan sebagainya.

“Apa yang jelas, mahkamah perlu mengingatkan semua, kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan termasuk kandungan, menghina mahkamah dan fitnah.

“Oleh itu mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang ramai terutamanya yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat sebarang komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.

“Sekiranya berlaku perkara-perkara tersebut, DPP boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dengan merujuk kepada individu-individu terbabit secara spesifik yang membuat hantaran yang jelas melanggar undang-undang yang menghina mahkamah atau subjudis,” katanya pada prosiding pada Khamis, seperti dilaporkan Awani.

Izralizam berkata, sedangkan keterangan saksi pun belum selesai termasuk saksi kelima, Yasmin Nahar Mahmood yang tidak hadir pada Khamis kerana tidak sihat, namun sudah ada komen-komen yang melampau.

Menurutnya, perbicaraan masih lagi berjalan dan tertuduh masih belum dibuktikan bersalah.

“Kita masih lagi jauh perjalanan untuk memanggil saksi-sakti selain SP5 (saksi pendakwaan kelima) yang masih dalam pemeriksaan balas.

“Simpan komen-komen yang berbentuk subjudis dan fitnah untuk diri sendiri. Jangan untuk dapat followers, untuk baca tetapi menjejaskan perjalanan kes ini,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, mahkamah mengambil maklum kenyataan Baljit Singh, di mana perkara itu turut melihatkan officers of court.

“Kita membuat kerja berdasarkan tanggungjawab masing-masing, DPP membawa kes ini untuk dituduh, peguam mempunyai tanggungjawab membela tetapi berada dalam ruang lingkup undang-undang yang sedia ada.

“Jangan overstep atau melebihi undang-undang. Peguam tertakluk kepada etika, DPP tertakluk kepada undang-undang, publik juga tertakluk kepada undang-undang.

“Saya percaya orang awam dan pihak wartawan boleh memainkan peranan yang penting dengan mengikut kes ini berdasarkan undang-undang sedia ada, jangan membuat komen-komen yang menganggu saksi,” tambahnya.

Justeru, beliau mengarahkan barisan pendakwaan untuk mengambil tindakan pendakwaan ke atas mana-mana individu secara spesifik dengan merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan.

Selain empat peguam yang dilantik oleh TMJ, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi turut hadir pada prosiding pada Khamis sebagai pemerhati.

Terdahulu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan
Ramasamy berjaya kutip derma RM1.5 juta untuk bayar saman Zakir
November 9, 2023· Isu semasa
Najib gagal tangguh perbicaraan kes dana 1MDB
August 26, 2023· Isu semasa
Permohonan Najib untuk singkir Hakim dalam kes 1MDB ditolak
August 18, 2023· Isu semasa
Injuksi interim Anwar: Sanusi kata tak ada hujan, tak ada ribut
August 1, 2023· Politik
Popular
Doktor sertai mogok umum tak beretika, moral rendah
July 26, 2021
Selesaikan isu harga makanan di kantin, jangan ikut formula Rafizi
January 9, 2023
Harga roti Gardenia naik 1 Disember
November 25, 2021
PN akan terus desak caruman KWSP bersasar dibenarkan
March 16, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok