
Datuk Seri Wong Chun Wai.
Pengalaman luas dimiliki Datuk Seri Wong Chun Wai, seorang tokoh media terkemuka yang dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diharap dapat mencungkil peluang dan potensi yang ada di dalam agensi berita itu , kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Chun Wai, seorang wartawan yang pernah memenangi beberapa anugerah mampu membantu memacu pertumbuhan di dalam organisasi itu untuk menyumbang kepada pembangunan negara, menurut laporan Bernama.
“Saya sangat gembira dengan pelantikan yang telah dibuat. Saya percaya Datuk Seri Wong Chun Wai, yang juga merupakan seorang siswazah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dapat membantu untuk mengemudi Bernama demi kebaikan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman pelantikan Chun Wai selaku Pengerusi Bernama yang baharu di Menara Angkasapuri di sini hari ini.
Turut berlangsung pada majlis itu ialah penyampaian surat pelantikan kepada anggota Majlis Penyeliaan Bernama dan Lembaga Pengelola Bernama yang meliputi anggota mewakili kerajaan dan akhbar.
Terdahulu, Fahmi menyerahkan surat pelantikan Pengerusi Bernama kepada Chun Wai bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Sept tahun ini hingga 31 Ogos, 2025.
Chun Wai, 62, menggantikan Datuk Ras Adiba Radzi yang tamat kontraknya pada 23 Jan lepas.