
Tangkap layar daripada akaun Facebook, Wan Ahmad Fayhsal.
Walaupun logo PKR sudah diturunkan daripada laman web Liberal International tetapi sejarah tidak akan dapat memadamkan fakta penglibatan parti tersebut bersama-sama pertubuhan antarabangsa itu, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ahli Parlimen Machang itu dalam satu hantaran di Facebook membangkitkan isu berhubung kontroversi PKR yang dikaitkan dengan pertubuhan pro Israel tersebut selepas logo parti itu sudah tiada lagi dalam portal rasmi pertubuhan tersebut.
“Mereka berjaya turunkan logo PKR daripada laman web Liberal International yang menyokong Zionis Israel.
“Tetapi sejarah tidak menipu kerana jelas PKR adalah sebahagian daripada Liberal International (siap mengaku ‘full member’),” katanya lagi.
Wan Ahmad Fayhsal juga menyertakan sekali tangkap layar Facebook bertarikh 20 Disember 2016 yang diambil daripada akaun Facebook Nurul Izzah Anwar yang memuat naik kenyataan rasmi dikeluarkan Liberal International berhubung perbicaraan kes liwat bapanya.
Terdahulu, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata parti itu tidak pernah menjadi ahli Liberal International dan pertubuhan berkenaan, yang berpangkalan di London, telah mengeluarkan nama serta logo PKR daripada laman sesawangnya
“Semalam saya dah umumkan bahawa PKR bukan ahli dalam Liberal International dan saya telah berhubung dengan pihak Liberal International.
“Jadi, saya akan minta kawan-kawan terutama peguam untuk mengambil kira tohmahan dan fitnah jahat yang dibuat oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaitkan PKR dengan Liberal International dengan niat yang jahat… kita akan teliti sekiranya ada keperluan kita akan ambil tindakan perundangan,” katanya dipetik Bernama.
Semakan terkini di laman sesawang organisasi itu mendapati nama dan logo PKR yang sebelum ini tersenarai bersama beberapa parti atau pertubuhan lain bagi negara-negara Asia sudah tiada.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata berdasarkan maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, terdapat lebih 200 konten berkait Liberal International yang cuba menyerang PKR serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi memang ada tingkah laku yang terselaras dan ini adalah serangan politik… penting untuk saya jelaskan secara fakta bahawa PKR bukan ahli Liberal International. Jadi hentikanlah tohamahan dan fitnah yang cuba dilempar,” katanya lagi.