Empat matlamat RMK12 jadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi: PM

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menyasarkan empat matlamat utama untuk dicapai dalam tempoh lima tahun, bermula tahun ini hingga 2025, menggariskan tiga tema, empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengunjurkan Malaysia bakal menjadi negara berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dan memiliki kualiti hidup yang lebih baik pada 2025.

Membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat hari ini, beliau menggariskan empat matlamat tempoh lima tahun akan datang ialah:

Menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun
Meningkatkan purata pendapatan isi rumah kepada kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025
Mengurangkan jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada satu nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada satu nisbah 1.2 pada 2025.
Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau ‘green house gas’ (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada 2030

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan, RMK12 adalah pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

Bagi tujuan itu, katanya, tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan diperkenalkan dalam RMK12.

Tiga tema itu iaitu menjana semula ekonomi, memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti serta melonjakkan kemampanan.

Manakala empat pemangkin dasar pula iaitu membangunkan bakat masa hadapan, mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi, menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta memperkukuh perkhidmatan awam.

Beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara yang membabitkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan.

Ismail Sabri berkata RMK12 adalah bukti komitmen kerajaan dalam meneraju dan menyusun langkah bagi mendepani apa jua situasi dan ia dirangka berdasarkan pendekatan dari bawah ke atas, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

“Tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya bagi menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Insya-Allah, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik, selain kita juga berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, terdapat pelbagai pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan dalam RMK12, namun semua pihak perlu mendakap erat prinsip kebersamaan, keluar daripada zon selesa dan mengorak langkah ke hadapan dengan yakin, berbekalkan hala tuju yang jelas.

Beliau berkata dalam keadaan dunia yang serba tidak menentu, semua pihak perlu menjayakan pelaksanaan RMK12 dengan sentiasa melakukan penilaian berkala dan lebih fleksibel dalam bertindak balas, selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir dalam arus pembangunan.

Katanya pelaksanaan dan pencapaian objektif serta matlamat RMK12 bergantung kepada komitmen semua pihak, terutama anak muda, justeru beliau mengajak mereka untuk bersama-sama menjayakan agenda pembangunan negara berlandaskan semangat Keluarga Malaysia.

BERITA BERKAIT
POPULAR