
Bekas Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Susulan kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan isu pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Datuk Ismail Sabri Yaakob mendakwa bekas Setiausaha Agung UMNO itu tidak membuat kajian terperinci.
Bekas Perdana Menteri itu berkata Ahmad atau dikenali Mat Maslan itu memberi pandangan dan unjuran tanpa fakta sehingga menjadi punca kepada kekalahan UMNO-Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 lalu.
“Unjuran UMNO pada ketika itu, BN boleh melepasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan secara solo.
“Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif dilakukan sebelum membuat unjuran terbabit kerana akhirnya, BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat.
“Disebabkan yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mat Maslan dalam ciapannya di Twitter berkata, masa yang tepat sangat penting dalam politik terutama bagi memastikan parti boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
Katanya, gelombang serta semangat parti pasca kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka begitu kuat, malah ketika itu juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, masih dapat membantu parti untuk menang.
“Jika pihak ‘Putrajaya’ (kerajaan ketika itu diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri) ikut keputusan bersama, ketika gelombang kemenangan (PRN) Melaka (BN menang 21 daripada 28 kerusi) serta Johor (BN menang 40 daripada 56 kerusi), semangat masih tinggi dan ketika #BossKu (Najib) masih di luar, adakan PRU15, maka nasib UMNO dan BN tidak seteruk ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, sebagai Perdana Menteri ketika itu, beliau memperoleh laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang.
“Ketika itu, ekonomi sedang dalam proses pemulihan selepas kita terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Sepatutnya, proses pemulihan diteruskan, bukan bubarkan Parlimen.
“Usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat telah mula menunjukkan hasil. Buktinya, ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada 2022, terbaik di rantau Asia Tenggara, malah antara yang tertinggi di dunia.
“Namun, usaha itu tidak dapat diteruskan kerana desakan berterusan supaya Parlimen dibubarkan,” katanya lagi.