
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cukai baharu akan diperkenalkan pada tahun depan oleh kerajaan campuran, umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Langkah memperkenalkan cukai baharu dilihat akan menambah beban kepada rakyat yang sudah berdepan dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang meningkat kebelakangan ini.
Perdana Menteri berkata jenis cukai baharu yang sedang digubal untuk dilaksanakan pada tahun depan itu adalah Cukai Keuntungan Modal.
“Langkah akan diambil bagi memperluas asas cukai, mempelbagai sumber cukai serta menambah baik pentadbiran percukaian menerusi penggunaan teknologi.
“Namun harus ditegaskan bahawa kerajaan ini berkhidmat demi rakyat dan tidak akan sesekali membebankan rakyat dengan ketetapan cukai di luar kemampuan mereka.
“Prinsip yang kita angkat ialah pemerataan ekonomi yang adil demi kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau memberi penegasan bahawa dengan pelaksanaan cukai baharu itu tidak sesekali akan membebankan rakyat.
Dalam pada itu, Anwar juga mengumumkan kerajaan campuran akan memperkenalkan subsidi bersasar untuk menyasarkan semula semua jenis subsidi seperti elektrik, diesel dan petrol serta bantuan sosial lain.
Pelaksanaannya akan dijalankan bawah Anjakan Besar Subsidi Bersasar dimana Pangkalan Data Utama (Padu) akan dibangunkan sebagai repositori data untuk menyokong pengagihan subsidi dan bantuan bersasar dengan tepat dan telus bagi menangani isu sosioekonomi setiap isi rumah.
“Data mikro hampir masa nyata berkaitan individu seperti demografi, pendapatan dan bantuan sosial akan disimpan dalam platform ini sebagai rujukan kepada agensi kerajaan.
“Di samping itu, PADU akan menyediakan akses kepada individu untuk membuat semakan dan mengemas kini data peribadi.
Dalam hubungan ini Kerajaan akan memastikan aspek kerahsiaan dan keselamatan data adalah terpelihara.
“PADU akan dimanfaat sebagai sistem rujukan berpusat untuk menyasarkan pemberian bantuan berdasarkan pendapatan boleh guna isi rumah. Antara subsidi ini termasuk elektrik, diesel dan petrol serta bantuan sosial lain,” menurut kerangka berkenaan.