
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kerajaan campuran diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dibidas kerana tidak menunaikan janji kononnya untuk membanteras rasuah tetapi sebaliknya kini membebaskan mereka yang terpalit dengan kes rasuah di mahkamah.
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sini menyindir kerajaan Anwar yang baharu membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada kes mahkamah dengan menyifatkan tatakelola yang dicanang sebelum ini sudah menjadi tatakelaut, malah laungan reformasi sudah menjadi reformati.
“Yang Amat Berhormat (YAB) Tambun (Anwar) semasa pembentangan kajian separuh penggal RMK12 memetik hadis berkenaan dengan sifat amanah.
“Pernyataan ini baik tetapi saya sangsi dengan kemampuan YAB Tambun untuk mengotakan apa yang dikata.
“Tatakelola katanya sudah jadi tatakelaut. Tak sampai setahun jadi kerajaan, janji-janji reformasi yang dicadang sepanjang lebih 20 tahun dahulu sudah jadi reformati,” sindir Muhyiddin semasa perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Muhyiddin juga mendakwa janji yang tidak ditunaikan setakat ini termasuk matlamat untuk mengurangkan jurang pembangunan antara negeri, serta pemberian dana yang sama rata kepada semua ahli Parlimen.
Kerajaan juga didakwa berat sebelah dalam pembentangn RMK12 apabila meminggirkan pembangunan di negeri Perikatan Nasional (PN), sebagai contoh Projek Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang.
“Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang berada di negeri PN langsung tidak disebut.
“Begitu juga janji menyediakan peruntukan sama rata bagi semua ahli parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang tidak dilaksanakan.
“Di mana sifat amanah, adil dan integritinya?” soalnya.
Pengerusi PN itu juga mempersoalkan sama ada model pembasmian kemiskinan sekarang kekal realistik, dengan mengambil kira kenaikan harga barang dan inflasi semasa.
Katanya, walaupun data eKasih menunjukkan bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar, berkurang daripada 124,744 kepada 188,217 KIR, namun berlaku kenaikan harga barang yang keterlaluan terutama barang makanan dan keperluan harian seperti beras.
Sehubungan itu, Muhyiddin sangsi dengan sasaran kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada hujung tahun ini.
“Adakah garis kemiskinan yang diguna pakai untuk menentukan status kemiskinan isi rumah masih realistik dengan mengambil kira kenaikan harga barang dan kadar inflasi semasa.
“Realitinya, model pembasmian kemiskinan telah berubah daripada yang memfokuskan pendapatan isi rumah semata-mata kepada kemiskinan pelbagai dimensi termasuk miskin pendidikan, miskin kesihatan, miskin keperluan asas dan miskin taraf hidup.
“Justeru, model pembasmian kemiskinan yang realitik mestilah diwujudkan terlebih dahulu sebelum berjanji untuk menoktahkan kemiskinan,” katanya lagi.