
Awesome TV digantung penyiaran.
Stesen televisyen Awesome TV dalam satu pengumuman memberitahu kepada orang ramai berhubung penggantungan siarannya bermula 2 November ini.
Stesen TV tersebut sebelum ini berdepan tekanan dan siasatan pihak berkuasa ekoran kandungan berita yang tidak menyebelahi kerajaan sedia ada, namun pihak pengendali Awesome TV tidak memperincikan pun siaran mereka digantung.
“Untuk makluman, saluran Awesome TV akan digantung siarannya bermula 2 November 2023,” menurut kenyataan tersebut.
Mei lalu, Awesome TV dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana menerbitkan kandungan berita yang melanggar undang-undang.
Saluran TV itu yang disiarkan di MYTV dan Astro, didakwa menerbitkan kandungan berita yang melanggar peraturan sebanyak enam kali, termasuk fitnah terhadap kerajaan.
Pada Ogos lalu, Awesome TV juga digugurkan daripada acara perarakan sempena Hari Kebangsaan Ke-66.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata bukan sahaja Awesome TV, malah ada beberapa pihak lain yang tidak dapat dimasukkan dalam acara berkenaan.
“Sebenarnya kita melihat dari segi jangka masa bagi keseluruhan program, malah ada beberapa pihak lain yang sudah dimasukkan atau memohon untuk menyertai acara itu, tidak dapat kami tampung.
“Ada banyak pihak sebenarnya, ada syarikat Grab pun merayu untuk sertai, trak Milo, jadi bukan satu pihak sahaja, ada banyak yang terpaksa kami kurangkan atau gugurkan,” katanya dipetik laporan media.