Tak wajar dakwa pasukan khas jihad gagal tangani inflasi: Annuar

September 12, 2022 · Isu semasa

Tak wajar dakwa pasukan khas jihad gagal tangani inflasi: Annuar

Adalah tidak wajar untuk menuduh Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi gagal berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan khas itu di sini hari ini, Annuar berkata hal berkaitan polisi monetari negara bukan diputuskan pasukan khas itu atau Kabinet, tetapi diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di bawah BNM, yang mempunyai rekod cemerlang dalam pengurusan ekonomi negara, lapor Bernama.

“Tidak wajar seorang Ahli Parlimen kata OPR dinaikkan 25 mata oleh sebab itu jawatankuasa gagal. Terlalu dangkal cara penilaian terhadap pengurusan ekonomi negara,” kata Annuar mengulas gesaan Pengerusi DAP Lim Guan Eng supaya pasukan khas itu dibubarkan.

Guan Eng pada Jumaat lepas menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi serta menyifatkan mereka tidak berkesan, cekap dan relevan, untuk membendung kenaikan harga.

Memetik kenyataan BNM bahawa kenaikan OPR disebabkan tekanan inflasi, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata perkara itu pada dasarnya menafikan dakwaan Annuar bahawa inflasi dalam keadaan terkawal.

BNM pada 8 Sept menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kenaikan kadar kali ketiga berturut-turut dibuat bank pusat itu.

Annuar berkata negara tertentu telah mengambil langkah drastik dengan menaikkan kadar OPR sebanyak 75 mata asas kerana mengalami tekanan inflasi yang tinggi tetapi di Malaysia, proses memulihkan OPR ke tahap stabil dibuat secara beransur-ansur dengan 25 mata asas.

“Tidak perlulah merasa sangsi atas tindakan yang dilakukan MPC, kerana mereka melihat kepada keseluruhan senario untuk memastikan negara mempunyai dasar monetari yang baik,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.

Annuar berkata komitmen Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan diteruskan, untuk menangani inflasi walaupun bukan satu isu yang mudah.

Beliau berkata pasukan khas berkenaan bukan diwujudkan secara ad hoc kerana ia merupakan jawatankuasa berasaskan kertas Jemaah Menteri yang disediakan Unit Perancang Ekonomi Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

“Tidak boleh menunding jari, tolak bola sana sini. Kabinet ambil pendekatan secara terus dan juga menguruskan satu persatu setiap permasalahan rakyat yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya menambah perlu ada kerjasama antara semua pihak dan tidak bekerja secara silo.

Mengenai keresahan kejatuhan nilai ringgit, Annuar berkata keresahan tentang penurunan nilai ringgit itu sebenarnya adalah terhadap nilai ringgit berbanding nilai mata wang tertentu khususnya dolar Amerika dan dolar Singapura, berbanding USD nilai ringgit melemah tujuh peratus dan 3.9 peratus berbanding dolar Singapura.

Namun, katanya kalau dilihat secara menyeluruh, nilai ringgit adalah mengukuh berbanding mata wang negara dagangan tertentu, contoh nilai ringgit berbanding Yen Jepun mengukuh 15.5 peratus dan berbanding pound Britain mengukuh 8.2 peratus, mengukuh berbanding won Korea 7.3 peratus dan Euro 4.4 peratus.

“Bagi yang benar-benar memahami melihat daripada keseluruhan nilai mata wang, pretasi kita adalah baik dari segi itu, tetapi berbanding USD ada perkara fundamental yang diteliti BNM sepanjang masa dan membuat penyelarasan tertentu termasuk mengawal selia kenaikan OPR,” katanya.

Berita berkaitan
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024· Politik
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024· Isu semasa
Kejatuhan nilai ringgit, Mat Maslan kata didorong faktor luaran
October 23, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Sarawak tak kompromi kuasa autonomi Imigresen negeri
January 1, 2023
Waktu kerja fleksibel bantu tingkatkan kualiti?
February 3, 2023
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok