Annuar perjelas punca harga barang naik

July 1, 2022 · Isu semasa

Ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan menjadi antara punca kenaikan harga barangan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Annuar, yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, berkata justeru pasukan itu akan membincangkan semula kaedah atau cara untuk mewujudkan keseimbangan antara kedua-duanya, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata sebagai contoh, pembekal sayur sememangnya berdepan kenaikan harga.

“Pengeluaran sayur didapati belum pada kapasiti yang asal, sebahagian pekerja belum balik, pekerja asing yang digunakan belum masuk dan sebagainya sementara permintaan telah mula melonjak semula kepada tahap asal.

“Jadi ada ketidakseimbangan (penawaran dan permintaan). Jika itu keadaannya maka jawatankuasa (pasukan khas) akan membincangkan semula soal bagaimana untuk kita mewujudkan suatu keseimbangan antara sebelah bekalan dan sebelah permintaan,” katanya selepas meninjau harga makanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak hari ini.

Terdahulu, Annuar meninjau harga makanan di kafeteria Universiti Malaya bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ke UIAM dan sebuah pasar raya di sini.

Beliau juga berkata kegagalan sistem atau suatu sistem yang dilaksanakan tidak berjalan seperti dirancang mungkin menyumbang kepada kekurangan bekalan.

“Sebagai contoh, sistem subsidi minyak masak sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan adalah untuk menampung keperluan domestik tetapi secara realitinya, minyak yang sepatutnya hanya digunakan oleh pengguna domestik telah digunakan oleh sektor bukan domestik.

“Macam hari ini pun, saya dapat lihat ada kampit minyak yang digunakan jelas untuk tujuan komersial,” katanya.

Annuar berkata apabila perkara itu berlaku secara meluas maka permintaan untuk pengguna domestik menjadi tidak cukup dan sekiranya tidak dikawal serta diperbetul, mungkin ketirisan lebih besar boleh terjadi.

“Jadi saya merasakan perlu ada satu usaha untuk kita perbaiki mekanisme ini. Pasukan khas ini akan berbincang dengan pihak terbabit,” katanya.

Beliau juga akan mengadakan tinjauan ke lokasi lain secara berterusan kerana banyak lagi barangan yang disukat dalam menentukan Indeks Harga Pengguna dalam kategori barangan dan perkhidmatan tertentu bagi menangani inflasi.

Katanya selepas ini, pasukan khas itu akan memanggil beberapa pakar ekonomi dan pakar rujuk yang penting untuk menyertai mesyuarat bagi mencari langkah terbaik menangani isu inflasi.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Sarawak tak kompromi kuasa autonomi Imigresen negeri
January 1, 2023
SC sahkan syarikat diketuai orang kuat Anwar disiasat: Laporan
January 21, 2023
Penduduk flat di Kampung Baru tak diusir semasa Ramadan: Shahidan
April 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok