Ketika DUN Johor bubar, nasib Presiden UMNO ditentukan esok

January 23, 2022 · Isu semasa

Ketika ramai tertumpu kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam, tidak kurang juga yang ternanti-nanti apakah nasib bakal menimpa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan jenayah rasuah melibatkan jutaan riggit wang Yayasan Akalbudi (YAB).

Esok, 24 Januari 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan sama ada akan memanggil Zahid membela diri atau membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah akan membuat keputusannya yang dijadualkan pagi esok.

Sekiranya hakim mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya, Zahid akan diarah membela diri.

Tetapi, jika hakim mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, bekas Timbalan Perdana Menteri kira-kira 33 bulan itu akan dibebaskan dan dia akan berjalan keluar dengan hati yang senang untuk mengepalai UMNO berdepan PRN Johor.

Untuk rekod, tertuduh yang diperintah membela diri mempunyai tiga pilihan:

  • Berdiam diri dan tidak menjawab terhadap pertuduhan itu;
  • Memberi keterangan tanpa sumpah dari dalam kandang tertuduh tanpa pemeriksaan balas pendakwaan; dan
  • Memberi keterangan bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya ketika pemeriksaan balas.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran sementara pasukan pembelaan Zahid diketuai peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Perbicaraan kes itu bermula sejak 18 November 2019 dengan pendakwaan memanggil 99 saksi, sementara penghujahan kes bermula 6 September 2021 dan berakhir setelah 24 hari.

Ketika sesi penghujahan, mahkamah mendengar daripada pihak pembelaan bahawa Zahid sepatutnya kebal daripada pendakwaan kerana mendedahkan dengan jujur semua maklumat mengenai transaksi melibatkan YAB.

Dalam hujahannya, Hisyam berkata Zahid membuat dua kenyataan pada 2 Julai 2018, (ditandakan sebagai D35) dan pada 3 Julai 2018, (ditandakan sebagai D36) menurut Seksyen 30(3)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi dua kenyataan itu, Hisyam berhujah bahawa anak guamnya telah mendedahkan maklumat dan oleh itu mengikut Seksyen 30(7) Akta SPRM, Zahid “memiliki kekebalan” daripada pendakwaan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah bahawa Zahid tidak berhak mendapat imuniti seperti yang didakwa pasukan pembelaan, yang menurut pihak pendakwaan adalah “tafsiran literal” kepada peruntukan undang-undang.

Raja Rozela berhujah bahawa Seksyen 30(7) bukanlah peruntukan yang memperuntukkan imuniti sebaliknya, ia memberi budi bicara kepada pihak pendakwa raya untuk mengecualikan seseorang yang membantu siasatan daripada didakwa.

Pihak pendakwaan juga berhujah bahawa dalam kebanyakan kes rasuah membabitkan ahli politik, pemberi wang itu jarang mengakui wang yang diberikan adalah rasuah.

Zahid, 68, mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pecah amahan (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan CBT, Zahid, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B)r Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini.

Berita berkaitan

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Popular
Sarawak tak kompromi kuasa autonomi Imigresen negeri
January 1, 2023
Kerajaan perlu masa selesai kes pencen hakim menerusi proses mediasi
March 21, 2022
SC sahkan syarikat diketuai orang kuat Anwar disiasat: Laporan
January 21, 2023
Penduduk flat di Kampung Baru tak diusir semasa Ramadan: Shahidan
April 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok