Sebelas individu, termasuk seorang wanita, yang menyertai aktiviti pemanduan lasak pacuan empat roda di Hutan Simpan Kekal Amanjaya, Hulu Perak, mengakhiri ekspedisi perkelahan mereka di Balai Polis Gerik.
Semua mereka yang menaiki lima kenderaan pacuan empat roda itu ditahan kerana memasuki hutan simpan berkenaan tanpa kebenaran.
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata semua individu terbabit ditahan kira-kira jam 1 pagi tadi selepas menerima maklumat berhubung aktiviti pemanduan lasak di hutan itu.
“Siasatan awal mendapati mereka memasuki Hutan Simpan Amanjaya dan sedang menuju ke Hutan Simpan Temenggor bagi tujuan aktiviti perkelahan.
“Semua individu tersebut didapati melakukan kesalahan kerana memasuki hutan simpan kekal tanpa kebenaran dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak setelah gagal mengemukakan dokumen kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua suspek telah ditahan manakala lima buah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan disita dan dibawa ke stor rampasan di Bandariang, Gerik.
Katanya, individu terbabit yang ditahan di Balai Polis Gerik kemudian dilepaskan dengan bon jaminan polis.
Kesalahan berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 iaitu kesalahan memasuki hutan simpan kekal tanpa permit yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagaimanapun, ia akan diputuskan setelah siasatan lengkap dijalankan oleh pihak penyiasat Jabatan Perhutanan Negeri Perak,” katanya.