
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memegang jawatan Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013.
Pakatan Harapan (PH) terus menyerang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong membidas Presiden UMNO supaya tidak lari daripada tanggungjawabnya walhal semua masalah berpunca ekoran tindakannya mengubah reka bentuk daripada Sigma kepada Gowind, sebelum berunding dan mendapatkan nasihat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Zahid Zahid jangan cuba nak lari daripada tanggungjawab. Projek LCS diluluskan oleh Ahmad Zahid selaku Menteri Pertahanan pada tahun 2011.
“Zahid bertanggungjawab di atas penyelewengan dana dan kegagalan projek LCS yang berlaku.
“Beliau mesti jawab kepada rakyat sekarang juga. Jangan lari,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Chin Tong membalas Zahid susulan kenyataannya yang tidak mahu dipersalahkan dalam isu berhubung kegagalan perolehan LCS tersebut.
Zahid yang juga Menteri Pertahanan sebelum ini dilaporkan berkata, beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu diberikan, sebaliknya memegang portfolio berkenaan dalam tempoh April 2009 hingga Mei 2013.
Zahid turut menegaskan, mereka yang terbabit dalam kegagalan perolehan LCS perlu menjelaskan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Isu LCS menjadi panas apabila PAC baru-baru ini, mengumumkan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek berkenaan selepas dua tahun disiasat.
PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.
Mengikut PAC, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.