
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Ketua Pesuruhjaya agensi itu, Tan Sri Azam Baki.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Junipah Wandi.
“Kami mewakili seluruh warga SPRM menyatakan pendirian kami menyokong kepimpinan Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.
“Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta,” katanya, lapor Bernama.
Pada masa sama, ketiga-tiga pengurusan tertinggi SPRM dalam kenyataan hari ini turut menggesa semua pihak menghentikan kemelut tersebut dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.
“Kami berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM,” menurut kenyataan itu.
Semalam, seorang Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohan Munusamy memaklumkan tidak menjadi satu kesalahan jika seseorang pegawai penguat kuasa kanan memiliki saham.
Memetik laporan media beliau berkata dalam pengetahuan beliau undang-undang Malaysia juga tidak sama sekali melarang pegawai kanan menjadi pengarah mana-mana syarikat.
“Saya sedia maklum bahawa adalah tidak menjadi satu kesalahan jika seseorang pegawai penguatkuasa kanan memiliki saham atau menjadi pengarah mana-mana syarikat dan perkara ini tidak sama sekali dilarang oleh undang-undang di Malaysia,” katanya. Berita berkaitan
Azam dalam kenyataan ringkas semalam, yakin beliau tidak melakukan sebarang jenayah dalam isu pemilikan saham oleh adiknya tetapi menggunakan nama beliau.
Malah beliau juga bersedia sekiranya kes itu dirujuk kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) kerana tiada sebarang fakta disembunyikannya.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat dan pada Rabu lepas, Azam dalam sidang media menafikan tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.
Azam berkata saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya yang menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh adiknya itu juga tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.
Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan LPPR, satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.