
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, terus menerus memperjuangkan pengeluaran KWSP bersasar.
Rintihan rakyat yang berdepan kesempitan hidup tidak diendahkan kerajaan campuran apabila kekal dengan keputusan untuk tidak melaksanakan pengeluaran bersasar daripada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan kerajaan campuran dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memahami keadaan sebenar rakyat dan terpisah dengan realiti kehidupan sebenar, walhal umum mengetahui harga barang naik dan kejatuhan ekonomi negara.
“Berdasarkan kepada kenyataan Timbalan Menteri itu, jelas bahawa kerajaan Anwar Ibrahim terus menerus gagal memahami situasi yang dihadapi pencarum-pencarum KWSP yang terkesan. Mereka sedang susah sekarang. Adalah tidak logik pembukaan Akaun III tahun depan boleh ‘melegakan’ kesusahan yang mereka sedang hadapi sekarang.
“Rayuan rakyat untuk membolehkan pengeluaran bersasar telah disuarakan oleh ramai individu dan pelbagai NGO. Kerajaan yang prihatin perlu dengar rintihan rakyat. Tuntutan pengeluaran bersasar ini telahpun kita dengar sebelum Belanjawan 2023 lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan tidak bercadang melaksanakan sekali lagi pengeluaran bersasar daripada dana KWSP.
Sebaliknya, Ahmad berkata kerajaan akan memperkenalkan Akaun III iaitu akaun fleksibel untuk tujuan membantu pencarum KWSP yang mahu mengeluarkan simpanan mereka.
Menurut Wan Saiful, pencarum yang berdepan kesempitan hidup memerlukan langkah penyelesaian segera dan tidak boleh menunggu lebih lama lagi.
“Ada di antara mereka yang perlu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka dengan segera. Ada yang kereta kena tarik, rumah kena lelong, kena halau dari rumah sewa malah lebih meruncing, dikejar oleh ceti haram.
“Adalah tidak munasabah pembukaan Akaun III akan menyelesaikan situasi sukar pencarum-pencarum ini. Sedangkan, pengeluaran bersasar akan membolehkan pencarum menyelesaikannya serta merta. Bukankan itu lebih baik?
“Kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan adalah kenyataan angkuh yang membayangkan bahawa kerajaan ini tidak mendengar rintihan rakyat susah,” ujarnya lagi.
Semalam Ahmad menjelaskan, kerajaan sedang memuktamadkan akses pengeluaran bagi akaun fleksibel KWSP mulai tahun hadapan.
Bagaimanapun kaedah dan peratusan simpanan akaun fleksibel belum diputuskan.