
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Pekerja 2023 hari ini menyeru warga pekerja untuk sebaris dalam memerangi rasuah di negara ini.
Kenyataan PMX itu dilihat agak mengelirukan walhal umum mengetahui kerajaan campuran sekarang mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang sedang terpalit kes pendakwaan di mahkamah dan baru-baru ini beberapa pegawai menteri anggota Kabinetnya sedang disiasat pihak berkuasa berhubung isu rasuah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ketika beliau mengambil alih kerajaan, keadaan kewangan negara parah dengan hutang RM1.5 trilion yang sebahagian disebabkan oleh ekonomi dan juga ‘perompak’, menurut laporan Bernama.
“Kalau mahu ekonomi berkembang, hasil berkembang, kena lawan dan hapus perasuah besar. Saya mahu pekerja sama barisan dengan saya, bangkit dan perang terhadap golongan yang merasuah,” katanya pada majlis sambutan Hari Pekerja 2023 bertema
‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’ hari ini.
Anwar berkata langkah penjimatan yang diambil kerajaan serta usaha memerangi rasuah akan membolehkan hasil negara bertambah sekali gus rakyat mendapat manfaat daripadanya.
Dalam pada itu, Anwar juga berkata sudah sampai masanya penilaian dan kajian semula dibuat terhadap gaji penjawat awam yang tidak memuaskan khususnya di peringkat rendah.
Beliau berkata kerajaan akan meneliti tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) umpamanya mengenai gaji penjawat awam.
“Bagi saya tempoh setahun, kalau ada trend peningkatan hasil, yang utama adalah upah penjawat awam.
“Sementara itu, segala bonus dan apa-apa kemudahan termasuk kesihatan, pendidikan yang harus kita dibantu, saya akan segerakan sebaik sahaja ada peruntukan,” katanya lagi.
Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta masing-masing kepada MTUC dan Cuepacs bagi memperkemas pengurusan kesatuan sekerja itu.
Anwar berkata beliau tidak mahu ketegangan antara kesatuan sekerja dengan kerajaan berhubung tuntutan dan rungutan yang dihadapi golongan pekerja.
Beliau turut meminta Menteri Sumber Manusia dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia memberi ruang sepenuhnya kepada MTUC dan Cuepacs untuk berbincang dan berunding.
“Biar ada rundingan majikan dan pekerja dahulu. Sebelum ini ada menteri yang enggan jumpa kesatuan. Saya tidak mahu ini berlaku dalam pentadbiran saya,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan mengumumkan pelbagai perubahan yang sedang dirangka bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan keupayaan pekerja dari masa ke masa.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada masalah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan peneroka bagi memastikan tiada kelompok yang tercicir.