
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Seseorang individu yang dipanggil bagi memberi keterangan tidak boleh disimpulkan sebagai saksi atau suspek dalam sesuatu siasatan yang sedang dijalankan, kata Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata tidak wajar untuk membuat kesimpulan apabila individu yang dipanggil terus dilabelkan sebagai pesalah, ia selepas beberapa media melaporkan berdasarkan sumber dalaman mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan seorang suspek .
Beliau berkata, mereka atau individu yang dipanggil SPRM untuk tampil memberi keterangan adalah bertujuan membantu siasatan.
“Tidak boleh untuk kita membuat kesimpulan sendiri, sama ada mereka yang dipanggil sebagai saksi ataupun suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad menurut laporan Sinar Harian.
Azam mengesahkan SPRM akan memanggil bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi memberi keterangan.
Azam berkata, keterangan Tengku Zafrul akan diambil pada masa terdekat untuk membantu siasatan berhubung dengan projek Jana Wibawa.
Sementara itu, Azam juga mengesahkan bahawa keterangan sudah diambil daripada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelas beliau, menerusi Seksyen 30(1)(a), Akta SPRM 2009, seseorang pegawai suruhanjaya yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah akta ini boleh memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa.
Katanya, pemeriksaan itu boleh dilakukan secara lisan iaitu berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat pada pendapatnya membantu dalam penyiasatan kesalahan itu.
“Mereka harus menunggu sehingga siasatan selesai sebelum memberi komen tentang siasatan oleh penguat kuasa,” kata beliau.