
SPRM dilaporkan telah menemu bual 35 saksi berhubung skandal kapal tempur pesisir pantai milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terperinci berkaitan skandal projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut dan agensi itu memikul tanggungjawab menjaga setiap kerahsiaan hasil siasatan.
Memetik Utusan beliau berkata sebarang kenyataan atau reaksi yang dikeluarkan oleh mana-mana individu boleh mengganggu siasatan dijalankan SPRM.
“Sebarang fakta atau maklumat yang dikeluarkan oleh mana-mana individu tidak semestinya tepat atau tidak.
“Jika ada perkembangan terbaharu mengenai hasil siasatan, sudah pasti SPRM akan maklum kepada semua,” katanya.
Sehubungan itu beliau mengingatkan semua pihak supaya lebih berhati-hati membuat sebarang kenyataan membabitkan isu berkenaan.
10 Ogos lalu, Jemaah Menteri memutuskan untuk menggesa SPRM menyegerakan siasatan terhadap kontrak pemerolehan enam kapal LCS itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kabinet memandang serius isu LCS yang sedang disiasat oleh SPRM.
“Perkara ini dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Kabinet memutuskan menggesa SPRM menyegerakan siasatan dan jika terdapat bukti kukuh, Peguam Negara perlu melakukan pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Saya telah memanggil Peguam Negara tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat,” kata Perdana Menteri.
Minggu lalu, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan kertas siasatan mengenai projek perolehan kapal tempur itu telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Kertas siasatan projek LCS itu termasuk dengan saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.
Susulan itu, pada 16 Ogos, bekas Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa menyalahgunakan jawatannya dengan menawarkan kontrak bagi perolehan RM9.13 bilion kapal tempur pesisir pantai (LCS) oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Ahmad Ramli didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Kontroversi kapal LCS tercetus susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos yang mendedahkan semua kapal itu belum siap walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion daripada keseluruhan kos bernilai RM9 bilion.
Projek itu diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) ketika zaman pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dan UMNO sejak 2011, ketika Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan.