
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mungkin dijangka siap dalam tempoh setahun dua lagi selepas pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi sepanjang projek tersebut berjalan, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menteri Kanan Pertahanan itu bagaimanapun tidak berani berjanji kapal pertama tersebut bakal siap dan dapat digunakan TLDM, bagaimanapun menjangkakan sekurang-kurangnya setahun dua lagi kapal tersebut akan dapat disiapkan nanti.
“Cuma saya tak mampu jawabnya sekarang kerana kita diberikan enam bulan selepas keputusan kabinet untuk mememobilisasikan usaha untuk menghidupkan semula projek ini.
“Ia melibatkan engagement dengan vendor di Perancis, engagement kita dengan agensi-agensi perbankan tetapi untuk dewan ini saya boleh nyatakan bahawa sekurang-kurangnya dalam masa setahun dua ini saya harap bahawa kapal pertama akan dapat kita siapkan,” katanya semasa sidang Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Senator Datuk Razali Idris bertanya kepada Hishammuddin bila dijangka kapal tersebut dapat disiapkan.
Hishammuddin juga berjanji akan memaklumkan kepada umum secara berperingkat progres pembinaan kapal tersebut dan juga Kabinet untuk memastikan ia berjaya disiapkan kali ini.
“Dan saya akan laporkankepada orang ramaijadual berperingkat-peringkat kapal-kapal yang telah pun dijanjikan dan saya akan maklumkan kepada kabinet apa yang telah kita lakukan untuk memastikan ianya kali ini Insha Allah mengikut yang apa yang telah pun dijadualkan,” katanya lagi.
Skandal LCS bernilai RM9.1 bilion mendapat perhatian orang ramai susulan pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada minggu lepas.
PAC dalam laporannya baru-baru ini mendedahkan projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) secara rundingan terus, dan kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.
Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan.