
Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil membidas kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal kapal tempur TLDM.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menyindir Datuk Seri Najib Razak berhubung kegagalan perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) sedangkan berbilion-bilion ringgit wang negara telah dihabiskan kepada syarikat yang diberi kontrak pembinaannya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata Najib menuduh Pakatan Harapan (PH) sebagai punca timbulnya masalah dalam skandal membabitkan projek LCS.
Fahmi mempersoalkan kenyataan Najib yang seolah-olah tidak menyedari kesilapan sendiri, sedangkan Ahli Parlimen Pekan itu adalah Perdana Menteri (PM) ketika segala persiapan kontrak perolehan LCS berlangsung.
“Yang salah, yang buat silap semua orang lain.
“Dia sendiri tak pernah silap walaupun dia lah PM waktu segala persiapan kontrak perolehan LCS berjalan,” kata Fahmi dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Najib menerusi catatan di Facebook berkata projek pembinaan enam LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih dimajukan sewaktu Barisan Nasional (BN), namun dilambatkan kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 dan dibekukan sepenuhnya pada 2019, di mana kapal pertama dijadualkan untuk diserah.
Menurut Najib pandemik yang menimpa pada 2020 dan 2021, turut menyumbang kepada masalah untuk menyiapkan LCS berkenaan.
Mengulas lanjut, Fahmi mempersoalkan mengapa Najib tidak mengambil peduli surat teguran Panglima Tentera Laut berhubung masalah perolehan LCS itu sebelum ini.
“Yang kamu tak dengar teguran dalam 2 surat Panglima Tentera Laut tentang masalah perolehan LCS tu, itu pun salah Pakatan ke?
“Dia tak pernah terfikir ke, kesemua 10 surat Panglima Tentera Laut tu, kalau diterima dan diambil tindakan awal, mungkin tak sampai hangus RM6 bilion macam sekarang?
“Mungkin dah sampai kapal-kapal LCS yang diperlukan TLDM?
“Duit hangus, kapal tak sampai,” kata Fahmi.
Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan TLDM selaku pengguna akhir dalam projek LCS.
Ia susulan perubahan dilakukan daripada kapal model Sigma kepada model Gowind selepas dicadangkan oleh BNS kepada menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, turut memetik kenyataan Panglima Tentera Laut ketika itu, Abdul Aziz Jaafar, bahawa ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan keputusan itu.
Beliau turut mengesahkan tiada satu pun daripada LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS, yang memperoleh projek itu secara rundingan terus.
Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan enam unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada kerajaan.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan siasatan terhadap skandal LCS kini sudah pada peringkat akhir dan individu bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pengumuman berhubung skandal kapal tersebut akan dibuat pada masa terdekat.
“Siasatan kini di peringkat akhir dan akan umumkan (hasil siasatan) bila sampai masanya, dalam tempoh terdekat.
“Ini kerana kita perlu berbincang dengan AGC dan sebagainya, baharulah kita boleh buat kenyataan (secara rasmi) kerana kenyataan berhubung kes ini adalah sensitif,” katanya dipetik laporan media.