Perbicaraan 1MDB: Saksi beritahu perbincangan atas kapal tiada wakil pegawai kerajaan

January 5, 2024 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa percutian Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga di atas sebuah kapal persiaran pada 2009 bertukar menjadi perbincangan usahasama diplomatik yang tidak melalui saluran perbincangan yang sah dan formal sehingga menyebabkan kerugian yang besar kepada negara.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin berkata perjumpaan di antara Putera Turki (yang dikatakan kerabat Arab Saudi) dan Pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid dengan Najib dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low ketika percutian itu mengesahkan ia telah menjadi penanda aras kononnya berlaku perbincangan kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang dicanang oleh Najib hingga ke hari ini, lapor Bernama.

“Perbincangan tersebut juga tidak melibatkan pegawai tinggi kerajaan sedangkan kerajaan terpaksa menanggung pinjaman dana dengan pengeluaran jaminan penuh.

“Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu sepatutnya tahu bahawa perbincangan usahasama G2G aras tertinggi seperti ini memerlukan saluran diplomatik yang sah dan bukannya berpunca daripada perbincangan tidak formal di atas kapal persiaran sahaja,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 95 muka surat semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mustaffa P Kunyalam pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Dalam pada itu, Nur Aida berkata pelantikan Edward L. Morse sebagai penilai aset PSI diragukan kerana laporan Penilaian Aset PSI disediakan hanya dalam masa lapan hari sahaja sedangkan nilai aset yang dinilai adalah sangat besar iaitu antara US$2.7 bilion dan US$4.5 bilion.

“Malahan, Datuk Seri Najib telah mengarahkan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) untuk tidak membuat penilaian ke atas aset PSI dengan alasan ingin menjaga nama baik bilateral Malaysia dan Arab Saudi dari segi politik dan reputasi.

“Datuk Seri Najib telah menggunakan Jho Low dan Datuk Shahrol Azral untuk memaksa ahli lembaga pengarah 1MDB melalui bekas Pengerusinya Tan Sri Mohd Bakke Salleh supaya mengikut arahan dan juga saranan mereka dalam beberapa tindakan dan keputusan berkaitan dengan usahasama dengan PSI,” katanya.

Tambah Nur Aida, alasan yang selalu diberikan Najib adalah menjaga hubungan G2G yang dijalin antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi dan ini menyebabkan banyak keputusan dan kelulusan yang dibuat tidak menyebelahi 1MDB dan kerajaan.

Mahkamah sebelum ini diberitahu kerjasama 1MDB-PSI menyebabkan 1MDB menyuntik dana berjumlah US$1 bilion sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai, bagaimanapun, daripada jumlah itu US$700 juta dilencongkan ke dalam syarikat Good Star Ltd iaitu syarikat yang dimiliki oleh Jho Low.

Pada perbicaraan 1MDB sebelum ini, Shahrol Azral yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata projek usahasama di antara 1MDB dan PSI tercetus dan dibincangkan semasa Najib bercuti di selatan Perancis di atas sebuah kapal layar bersama Putera Turki pada Ogos 2009.

Pada Mei 2022 pula, bekas Pegawai Khas Najib Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail (saksi pendakwaan ke-16) memberitahu mahkamah pada hari kedua atau ketiga pelayaran percutian Najib dan keluarga, Najib memaklumkan kepadanya bahawa seorang Putera Saudi iaitu Putera Turki berada di sebuah kapal lain yang berdekatan dan beliau menjemput Najib sekeluarga untuk minum petang di atas kapal mereka.

Katanya, rombongan itu disambut oleh Putera Turki dan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Tarek Obaid.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 8 Jan ini.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
18 jam lalu· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Popular
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Kenapa harga ayam meningkat?
May 26, 2022
Ulasan: Rafizi oi! Barang apa dah turun harga?
January 23, 2023
Lelaki juga berisiko alami gangguan seksual
February 13, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok