Saksi beritahu tiada kesilapan besar dalam perjanjian awal projek terowong

November 29, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu bahawa tiada kesilapan besar dalam kandungan dokumen Perjanjian Awalan Bagi Projek Penswastaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang ditandatangani kerajaan negeri dan syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd pada 2013.

Menurut laporan Bernama, perkara itu disahkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Adlin Abdul Majid, 47, ketika memberi keterangan dalam kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Ketika disoal balas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Guan Eng, Adlin berkata ketika itu, beliau merupakan peguam di Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill dan telah dilantik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan draf perjanjian tersebut.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata draf perjanjian awal tersebut telah dibawa ke mesyuarat exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 4 Okt 2013 yang turut dihadiri bekas Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Faiza Zulkifli, 61.

Beliau berkata draf itu telah dibentang dan mendapat kebenaran exco selain persetujuan mereka untuk pindaan tertentu dibuat dalam perjanjian tersebut.

Adlin berkata tiada sebarang bantahan dikemukakan semasa mesyuarat exco berhubung perjanjian itu.

Gobind: Rakan saya yang bijaksana mendakwa terdapat ‘kesilapan besar’ dalam perjanjian itu. Adakah anda tahu mengenai sebarang kesilapan besar yang berlaku dalam perjanjian itu? Adlin menjawab “Tidak.”

Gobind: Datuk Faiza Zulkifli berkata terdapat kesilapan besar ketika merujuk kepada perenggan tertentu (dalam draf perjanjian itu). Adakah anda setuju bahawa terdapat kesilapan besar pada bahagian itu dalam perjanjian tersebut?

Adlin: Saya tidak setuju.

Saksi itu juga bersetuju dengan pembelaan bahawa kepentingan kerajaan negeri telah dilindungi melalui perjanjian itu kerana ia perlu melalui jawatankuasa tertentu sebelum dilaksanakan.

Adlin juga berkata Faiza tidak pernah memaklumkan kepada beliau mengenai sebarang ‘kesilapan besar’ dalam perjanjian itu.

Pada prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan ke-11 iaitu Faiza memberitahu mahkamah bahawa terdapat kesilapan besar dalam kandungan dokumen itu yang membabitkan lot tanah.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-13 Datin Seet Chin Leng, 55, memaklumkan mahkamah bahawa kali terakhir beliau berjumpa suaminya iaitu mendiang Datuk Ewe Swee Keng ialah pada 1 pagi sebelum mangsa maut terjatuh dari kondominium di Jalan Kelawi, Georgetown pada 5 pagi 5 Okt lepas.

Mendiang Swee Keng, saksi pendakwaan yang sepatutnya memberi keterangan dalam kes rasuah membabitkan Guan Eng, dilaporkan maut selepas terjatuh dari kondominium itu dan kes dilaporkan sebagai mati mengejut.

Chin Leng berkata beliau tidak tahu suaminya telah ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan oleh mendiang.

Guan Eng didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Berita berkaitan
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
14 jam lalu· Politik
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Popular
Harga roti Gardenia naik 1 Disember
November 25, 2021
Selesaikan isu harga makanan di kantin, jangan ikut formula Rafizi
January 9, 2023
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024
Lagi Isu semasa terkini
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok