
Peguam berpangkalan di United Kingdom (UK), Jonathan Laidlaw memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara bagi mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes jenayah SRC International Sdn Bhd (SRC).
Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof yang mengetuai panel tiga hakim, dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan empat responden untuk menolak rayuan Laidlaw untuk mewakili bekas perdana menteri itu, menurut laporan Bernama.
Hakim memutuskan rayuan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam kes SRC adalah bersifat akademik, berikutan Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lepas serta Mac tahun ini telah mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.
Empat responden itu ialah Jabatan Peguam Negara (AGC), Badan Peguam, Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan.
Keputusan itu disampaikan secara dalam talian menerusi Zoom.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais berpuas hati bahawa permohonan Jonathan untuk diterima masuk dan bertindak mewakili bekas Perdana Menteri dalam prosiding jenayah, kini akademik.
Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Zabariah berkata, ini kerana rayuan dan semakan kes SRC melibatkan Najib di peringkat mahkamah tertinggi, sudah tiba ke penghujungnya.
“Tujuan permohonan adalah agar beliau diterima masuk mewakili Datuk Seri Najib, namun demikian prosiding jenayah terhadapnya sudah selesai sepenuhnya, maka notis rayuan ini dibatalkan,” jelas hakim berkenaan.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC memohon rayuan itu dibatalkan atas alasan ia kini akademik.
Ia turut disokong oleh peguam Datuk Bastian Vendargon mewakili Badan Peguam Malaysia dan Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar mewakili Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur.
Bastian berhujah bahawa permohonan Jonathan untuk diterima masuk bagi mewakili Najib merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana rayuan bekas Perdana Menteri telah selesai pada semua peringkat.
Terdahulu, mahkamah mengekalkan Hakim Nordin dan Hakim Abu Bakar menganggotai panel berkenaan selepas menolak permohonan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk menggugurkan kedua-duanya.
Pada 21 Julai 2022, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonan Jonathan untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya selepas mendapati tidak ada keperluan untuk membawa masuk peguam itu bagi mewakili Najib dalam rayuan akhir berkenaan.
Muhammad Shafee yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan, mengemukakan alasan Jonathan mempunyai kelayakan dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguambela dan peguamcara di negara ini.
Ia adalah kerana rayuan terakhir kes SRC International membabitkan isu yang serius, kompleks dan pertama dibangkitkan di mahkamah.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib. Rayuan terhadap sabitan dan hukuman beliau telah ditolak Mahkamah Rayuan pada 2021.
Najib, 70, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan hukuman dan denda terhadapnya pada 23 Ogos 2022.
Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukuman berkenaan.