Pengarah sabotaj air berdepan SOSMA dibenar ikat jamin

April 16, 2021 · Isu semasa

Seorang pengarah syarikat yang menghadapi pertuduhan melakukan sabotaj dengan mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air di negeri Selangor melibatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dibenar diikat jamin RM50,000 oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azizah Nawawi membenarkan Lim Kian Aik, 43, diikat jamin sementara menunggu perbicaraannya di Mahkamah Tinggi, lapor Bernama hari ini.

Keputusan majoriti oleh Hakim Azizah dan Datuk Supang Lian yang membenarkan permohonan Lim untuk diikat jamin selepas memutuskan Lim tertakluk di bawah Seksyen 13(2) (c) SOSMA yang memperuntukkan ikat jamin boleh diberikan kepada tertuduh yang sakit. Hakim Datuk Ghazali Cha pula menentang keputusan itu.

Hakim Azizah berkata Lim disahkan menderita sindrom koronari akut dan seorang pegawai perubatan dari klinik Penjara Sungai Buloh berpendapat bahawa dia (Lim) berisiko tinggi menderita serangan jantung dan merupakan orang yang sakit dari perspektif perubatan.

Beliau membenarkan Lim, 43, dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin dan mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat seminggu sekali.

Pada 23 Nov tahun lepas, Lim dan kontraktor R. Nathan, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang terhadap pertuduhan melakukan sabotaj dengan niat untuk mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di negeri Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox , Rawang , Gombak di sini antara 2 dan 10 Nov lepas.

Mereka juga menghadapi lima pertuduhan lain mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Memandangkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan yang mengguna pakai prosedur SOSMA, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-kedua tertuduh.

Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, Lim yang diwakili peguam Wan Kok Cheong berhujah bahawa anak guamnya yang telah ditahan di Penjara Sungai Buloh hampir enam bulan, menderita sindrom koronari akut dan perlu diberi ubat secara teratur dan akses berjumpa doktor.

Wan turut membentangkan laporan perubatan oleh Institut Jantung Negara (IJN) mengenai keadaan perubatan Lim.

Beliau berkata kes Lim telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah menetapkan 23 April untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Azmi Mashud yang dibantu TPR Mohd Zain Ibrahim, berhujah permohonan ikat jamin Lim harus difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes itu telah dipindahkan ke mahkamah itu.

Wan memberitahu pemberita keluarga Lim akan membayar ikat jamin itu.

Berita berkaitan
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Radzi arah KSU lapor SPRM dakwaan Zaharin
October 17, 2022
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024
Baik buruk media sosial
March 26, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok