Rayuan akhir Najib bermula hari ini

August 18, 2022 · Isu semasa

Selepas ditolak dua kali oleh Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Najib Razak kini tiada pilihan selain meneruskan rayuan terakhirnya terhadap sabitan kes RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pendengaran rayuan akhir – yang akan menghantar bekas Perdana Menteri itu terus ke penjara selama 12 tahun dan membayar denda RM210 juta – jika rayuan ditolak – bermula hari ini (18 Ogos 2022).

Najib memulakan hari pertama rayuan terakhir itu pada 15 Ogos dengan menunggu keputusan permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu selepas penghujahan pada Isnin. Bagaimanapun, dia dikecewakan apabila mahkamah menolah permohonannya.

Ahli Parlimen Pekan itu kemudiannya meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan rayuan akhir selama tiga hingga empat bulan kerana dia telah menukar firma guaman baharu bulan lepas dan peguamnya memerlukan masa untuk meneliti rekod rayuan yang “banyak”.

Najib telah ‘melepaskan’ Tetuan Shafee & Co pada 25 Julai dan kemudian melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners mewakilinya dalam rayuan akhir.

Bagaimanapun, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, juga sebulat suara menolak permohonan itu.

Mahkamah berkata berkata seorang peguam bela dan peguam cara tidak boleh menerima apa-apa ringkasan kes melainkan dia secara munasabah pasti dapat hadir dan mewakili pelanggan pada hari yang ditetapkan.

Panel hakim juga berkata Najib perlu dilayan seperti mana-mana tertuduh lain.

Empat anggota panel hakim lain yang turut bersidang ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nalini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan; dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik, membuat hujahan terakhir yang penuh semangat di hadapan panel, untuk memohon penangguhan itu.

“Dengan rasa rendah diri, saya membuat rayuan ini. Saya biasanya tidak datang ke mahkamah ini untuk meminta penangguhan melainkan ia benar-benar perlu.

“Ada perkara yang kukuh di sisi undang-undang, hujah yang serius… permohonan yang saya buat sekarang dibuat dengan niat baik,” katanya.

Beliau berkata ia adalah “permohonan yang bona fide” dan sama sekali bukan taktik penangguhan.

Bagaimanapun, mahkamah tertinggi negara menyatakan bahawa Najib telah diingatkan sekurang-kurangnya empat kali bahawa rayuan itu akan diteruskan seperti yang dijadualkan walaupun terdapat perubahan dalam pasukan peguam bela.

Panel hakim berkata, pertukaran firma guaman pada jam kesebelas dilakukan dengan pengetahuan penuh mengenai tarikh perbicaraan (15 Ogos – 26 Ogos) sejak April.

Tengku Maimun dalam keputusan menolak penangguhan itu, berkata Najib mengetahui tarikh prosiding rayuan akhir, tetapi memilih untuk melantik peguam baharu mewakilinya.

Beliau berkata, walaupun itu adalah haknya untuk memilih tetapi Najib kemudian tidak boleh menyatakan bahawa peguamnya tidak bersedia dengan rayuan akhir.

Menurutnya permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan selama tiga hingga empat bulan hanya kerana mereka tidak bersedia untuk meneruskannya, adalah tidak boleh diterima.

“Secara terang-terangan, pihak pembelaan memohon penangguhan rayuan ini atas alasan mudah mereka tidak bersedia.

“Bagaimanapun, penetapan tarikh rayuan ini telah diketahui sejak pengurusan kes pada April iaitu kira-kira empat bulan lalu.

“Pihak-pihak kemudian dinasihatkan bahawa mahkamah akan meneruskan pada tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Mahkamah juga berkata permintaan penangguhan itu tidak disokong oleh alasan yang kukuh atau munasabah dan dana awam yang besar akan dibazirkan jika ia dibenarkan.

“Kami menyatakan sekali lagi bahawa walaupun perayu berhak mendapat haknya untuk menukar peguam, dia tidak berhak membuat pilihan ini dengan mengorbankan mahkamah, pendakwaan atau keseluruhan sistem keadilan,” kata Tengku Maimun.

Pada awalnya, mahkamah juga menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu, termasuk keterangan “baru ditemui” mengenai Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang didakwa mempunyai konflik kepentingan dan berat sebelah apabila beliau mendapati Najib bersalah.

Selain gagal melepasi ambang yang tinggi mengikut Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964, Najib juga gagal menyatakan dengan tepat apa bukti tambahan yang dicadangkan akan dibuktikan atau diperkatakan mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, kata mahkamah itu.

“Pada fikiran kami, tidak ada penyelewengan keadilan,” kata Tengku Maimun.

Beliau berkata walaupun tanpa bukti tambahan, pihak pembelaan masih boleh “menyerang” fakta undang-undang dalam rayuan itu.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Najib atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna jawatan, kesemuanya melibatkan dana SRC, berjumlah RM42 juta.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Berita berkaitan
Perbicaraan 1MDB: Saksi beritahu perbincangan atas kapal tiada wakil pegawai kerajaan
January 5, 2024· Isu semasa
Najib mohon DNAA bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan kes dana SRC
December 1, 2023· Politik
Kes bunuh teman wanita: Pemandu lori dipenjara 35 tahun, 12 sebatan
November 29, 2023· Isu semasa
Mahkamah benarkan pasport Muhyiddin dipulangkan untuk sementara
November 29, 2023· Isu semasa
Popular
Dr. Sheikh Muszaphar kongsi cara didik anak
October 5, 2021
Usahawan PMKS, pekerja sokong syor Muhyiddin mudahkan bantuan
October 23, 2022
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Lelaki juga berisiko alami gangguan seksual
February 13, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok