Najib mohon DNAA bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan kes dana SRC

December 1, 2023 · Politik

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Najib membuat permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan Hakim K. Muniandy bahawa keputusan representasi yang dihantar pihak pembelaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 31 Julai lepas masih belum diperoleh, lapor Bernama.

“Kes telah dikemukakan lebih lima tahun sejak 2019 dan telah beberapa kali disebut di mahkamah ini. Oleh itu, untuk tidak memprejudiskan kedua-dua pihak terutamanya anak guam, saya mohon mahkamah memberikan perintah DNAA mengikut Seksyen 173 Kanun Prosedur Jenayah kerana kes langsung tidak berjalan.

“Sekiranya pendakwa raya ada keputusan berlainan di masa akan datang, pihak pendakwaan boleh membuat keputusan untuk kes dikemukakan semula di mana kita berhenti…kes ini sudah tergantung begitu lama,” kata Muhammad Shafee.

Hakim Muniandy kemudian bertanya kepada pihak pendakwaan mengapa AGC terlalu lambat untuk membuat keputusan berhubung representasi berkenaan.

Mohd Ashrof berkata kes itu membabitkan individu berprofil tinggi yang melibatkan banyak dokumen untuk diteliti selain masih terdapat kes lain, International Petroleum Investment Company (IPIC) dihadapi Najib yang masih belum dibicarakan.

“Semua pihak sebelum ini juga bersetuju bahawa tiga tuduhan itu hanya akan dibicarakan selepas kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta diputuskan dan semakan kes itu berakhir pada 31 Mac lalu di Mahkamah Persekutuan.

“Mengikut rekod saya selepas 31 Mac, hanya ada tiga sebutan kes termasuk prosiding hari ini. Oleh itu, saya mohon satu tarikh pengurusan kes akhir bagi mengetahui perkembangan berhubung representasi tersebut,” katanya dan menambah beliau mendapat arahan untuk memohon masa tambahan tiga bulan bagi AGC meneliti kandungan representasi.

Hakim Muniandy menetapkan 19 Jan 2024 sebagai tarikh akhir untuk Peguam Negara membuat keputusan berhubung representasi itu.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Mac lepas, Najib, 70, gagal dalam usaha terakhirnya untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana SRC International dan beliau sedang menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga sedang dibicarakan bagi kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dengan pihak pendakwaan telah memanggil seramai 48 saksi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Najib juga berdepan satu lagi kes pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada IPIC di hadapan

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, yang kini masih di peringkat pengurusan kes.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
20 jam lalu· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Popular
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024
Ibu, suami dan anak temani Mas Ermieyati sebelum ke pusat penamaan calon
November 8, 2021
‘Bahaya jika DAP perintah negara’
November 18, 2022
Lagi Politik terkini
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
2 jam lalu · Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024 · Politik
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024 · Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024 · Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok