
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Cadangan kerajaan campuran untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilihat tidak sesuai buat masa ini, kata Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Tun Faisal yang juga Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) itu berkata cadangan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk memperkenalkan semula cukai GST tidak bersesuaian buat masa ini ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos harga barang dan keadaan ekonomi negara masih tidak baik.
“Saya persoalkan kesesuaian kerana mereka pernah kata bahawa cukai GST tidak sesuai dilaksanakan pada zaman Datuk Seri Najib Razak dulu… Kerana macam-macam masalah ekonomi, hutang dan sebagainya..
“Hari ini keadaan negara lagi teruk lagi daripada zaman Datuk Najib dulu… Waktu itu Rafizi daripada Pakatan Harapan bantah pelaksanaannya kerana masanya tidak sesuai, tapi sekarang ini keadaannya lebih teruk sebab rakyat sedang susah, peniaga pun susah, ekonomi teruk dan harga barang meningkat begitu tinggi.
“Kerajaan hilang kawalan dengan harga barang bukan setakat harga barang biasa tapi juga harga barangan asas (meningkat),” katanya dipetik laporan media semalam.
Kerajaan campuran pada Isnin, dilaporkan tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST yang dimansuhkan sebelum ini.
Rafizi berkata, kerajaan akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk membangunkan Cukai Keuntungan Modal yang akan dilaksanakan pada 2024.
Menurut Tun Faisal lagi, cadangan dikemukakan PH untuk memperkenalkan semula cukai GST menunjukkan mereka terpaksa menelan balik kata-kata sebelum ini.
“Kita nampak ketika ini, kerajaan PH terpaksa mengakui tindakan kembali kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah dasar terkebelakang iaitu menggunakan cukai kepenggunaan yang orang tak pakai dah.
“Disebabkan kerajaan PH ketika mentadbir sebelum ini kembali kepada SST, ia jelas merugikan,” katanya lagi.