
Fahmi didakwa berucap dalam masjid. Gambar Facebook.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih menjalankan siasatan terhadap Fahmi Fadzil yang berucap di dalam sebuah masjid, baru-baru ini.
JAIS berkata pihaknya masih meneliti semua elemen dan fakta, walaupun polis semalam mengumumkan Fahmi tidak berkempen di dalam masjid.
“Kita juga akan meneliti titah Tuanku. Kalau didapati betul (melanggar titah), barulah pertuduhan akan berlaku, ” katanya, lapor MalaysiaNow.
Tindakan tersebut mengundang pertikaian susulan Ketua Komunikasi Strategik PKR itu dilihat melanggar titah sultan yang melarang ahli politik daripada menggunakan masjid untuk apa jua bentuk aktiviti.
Siasatan dijalankan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.
JAIS turut menambah adalah tidak wajar untuk pihaknya mempercepatkan siasatan hanya kerana pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir.
Semalam, polis mengesahkan ucapan Menteri Komunikasi dan Digital itu tiada unsur kempen bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor.
Sebelumnya, Fahmi menjelaskan beliau dijemput pihak pengurusan masjid untuk memberi penerangan mengenai insiden bercium antara pasangan sejenis membabitkan kumpulan ‘The 1975’ yang mencetuskan kontroversi di Sepang baru-baru ini.
Kementeriannya diserang kerana memberi kelulusan kepada kumpulan muzik Britain itu yang sebelum ini pernah melakukan perbuatan sama di negara Islam lain.
Sebelum ini, JAIS sudah berulang kali memberi amaran kepada ahli politik menjelang pilihan raya dilarang menggunakan masjid dan surau tujuan yang tidak dibenarkan oleh Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Menurut jabatan itu sesiapa yang didapati menggunakan masjid untuk berpolitik disifatkan telah menghina, mengingkari dan melanggar titah Sultan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Mengikut peraturan semasa, hanya individu yang diberi tauliah oleh Mais dibenarkan menyampaikan ucapan, syarahan, khutbah atau pengajaran di masjid dan surau di Selangor.