
Pasukan pencari dan penyelamat menemukan helikopter yang terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor jam 9.30 pagi tadi. Dalam nahas itu seorang juruterbang warga Hong Kong, maut di tempat kejadian.
Juruterbang sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, ditemukan mati di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Beliau berkata mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi, lapor Bernama.
“Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini. Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.
“Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.
“Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun merupakan warganegara Hongkong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.
Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Semalam, CAAM mengesahkan bahawa sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B, dengan pendaftaran N409HH yang dikendalikan oleh Heli Outpost Sdn Bhd gagal dihubungi oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari.
Juruterbang helikopter berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada jam 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan mendarat pada 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Sistem radar KLATCC merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter membawa seorang juruterbang yang terputus hubungan sebelum dilaporkan hilang di kawasan hutan sekitar Bidor.