
Sidang media pemimpin Perikatan Nasional semalam di Parlimen.
Perikatan Nasional (PN) bercadang untuk memohon bagi mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memberi penjelasan berhubung usul persendirian untuk memasukkan tambahan proviso membabitkan Akta 388.
Dewan Rakyat semalam menolak Usul persendirian yang dibawa PN membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran Pindaan Akta 388, bagi memasukkan penambahan proviso di Seksyen 66 iaitu Allah dengan makna, terjemahan dan tafsiran sebagaimana terkandung dalam surah 122 Al-Ikhlas yang membawa makna:
“Allah Yang Maha Esa, Allah tempat meminta segala sesuatu, Allah tidak mempunyai anak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan Nya.”
“Kami akan memohon menghadap DYMM Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi menjelaskan peri pentingnya pindaan terhadap Akta 388 ini dalam konteks menjaga akidah umat Islam dan kesucian agama itu sendiri,” kata Setiausaha PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan di akaun Facebook.
Usul Persendirian di bawah Aturan 49 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tersebut terdahulu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jasin, YB Tuan Guru Haji Zulkifli Ismail pada Khamis (25 Mei 2023).
“Walaupun ditolak, usaha Perikatan Nasional untuk menjaga kesucian kalimah Allah ini takkan terhenti.
“Mereka merancang, Perikatan Nasional juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang,” ujarnya lagi.
Semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau memaklumkan usul persendirian tersebut ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Saya dimaklumkan usul ini telah ditolak dan kalau tidak puas hati boleh buat usul di bawah Peraturan Mesyuarat 43,” katanya.