
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Tiada risiko besar jika pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencagarkan wang mereka untuk membuat pinjaman dengan bank, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri mempertahankan cadangan supaya pencarum mencagar akaun KWSP mereka untuk meminjam dengan bank atas alasan kepentingan pencarum yang mencagarkan simpannya dari segi pemberian dividen tetap akan diteruskan.
“Dividen diberi penuh ikut kumpulan asal. Dalam beberapa tahun, pulangan itu dapat diperoleh.
“Kalau sejumlah kecil gagal (bayar pinjaman), ia tidak memberi kesan yang parah kerana jumlah induk (simpanan) dan dividen sudah ditambah.
“Potongan (wang) diambil dari dividen,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Besar (Perikatan Nasional) Datuk Muslimin Yahaya di Dewan Rakyat hari ini.
Muslimin bertanya sama ada Perdana Menteri mendapat nasihat perundangan sebelum membenarkan cagaran dibuat, serta kaedah pengurusan risiko sekiranya peminjam gagal melunaskan hutang mereka.
Sebelum ini Anwar yang juga menteri kewangan memberitahu tindakan mencagarkan wang KWSP tidak melanggar Seksyen 51 Akta KWSP.