
Anwar bersama anak muridnya, Zahid Hamidi.
Satu berita penting yang sangat baik akan diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis ini.
Perdana Menteri berkata berita baik itu berkenaan hasil lawatan kerja ke Emeriah Arab Bersatu (UAE) nanti tetapi tidak diperincikan lagi, namun umum mengetahui rakyat ketika ini bimbang dengan kenaikan harga barang disamping bekalan beras yang tiada di pasaran.
Namun, Anwar berkata belum memberitahu Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai berita baik itu kerana syaratnya, perlu menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (PRN) Pelangai terlebih dahulu.
“Mudah-mudahan Insya-Allah, kita akan beri pengumuman yang penting bukan sahaja untuk Malaysia tetapi untuk Pahang.
“Saya tak beritahu (Wan) Rosdy sebab nak buat kejutan untuk dia. Tetapi syaratnya (kena) menang (PRK) Pelangai dulu.
“Kita akan umumkan satu berita yang sangat baik untuk Pahang daripada UAE,” katanya dipetik laporan BH.
Anwar akan mengadakan lawatan kerja ke UAE Khamis ini.
Mengulas lanjut perkembangan baik itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia sesuatu yang amat dinanti-nantikan kerana hasil kerja keras pasukan Jemaah Menteri dalam kerajaan campuran.
Beliau juga berkata, khabar gembira itu juga hasil faktor keyakinan pihak UAE terhadap kestabilan politik di negara ini, menerusi kerjasama pelbagai gabungan parti.
“Dia yakin sebab politik kita stabil. Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan saling mempercayai,” katanya lagi.
Setakat ini tidak pasti pelaburan apa yang hendak dibawa tersebut, namun laporan terbaharu menunjukkan keadaan perniagaan negara yang semakin melemah dan ditambah pula dengan kejatuhan mata wang nilai ringgit ketika ini.